KUANTAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan akan memanggil Ketua Menteri, Lim Guan Eng berhubung isu pembelian banglo yang didakwa berharga di bawah nilai pasaran iaitu RM2.8 juta di Jalan Pin Horn, Jelutong, Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata pihaknya sudah mempunyai tindakan serta perancangan untuk memanggil Guan Eng dalam melengkapkan siasatan berhubung kes tersebut.
“Telah ada perancangan dan tindakan, macam mana sekali pun akan dipanggil.
“Bahagian Operasi akan menentukan masa sesuai untuk memanggil beliau (Guan Eng).
Beliau berkata ketika ditanya berkaitan perkembangan isu tersebut di satu sidang media selepas merasmikan program merakyatkan SPRM bersama masyarakat dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), di dataran Teluk Cempedak di sini.
Terdahulu, pelbagai pihak telah mendesak SPRM mempercepatkan siasatan terhadap Guang Eng.
Bagaimanapun selepas hampir sebulan, Guan Eng masih belum dipanggil SPRM untuk memberi keterangan sehingga menimbulkn tanda tanya dalam kalangan orang awam berhubung perkembangan siasatan isu berkenaan yang dianggap terlalu perlahan.
Dalam pada itu, Mustafar enggan mengulas panjang berkaitan kenyataan daripada segi tindakan berhubung isu berkenaan kerana ianya telah dibuat SPRM menerusi Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) suruhanjaya iaiTu Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull dan Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki.
“Tak perlu kenyataan-kenyataan tentang isu itu diulang-ulang kerana memadai dengan apa yang telah dinyatakan oleh SPRM sebelum ini.
”Saya dah sebutkan jangan politikkan isu rasuah dari segi pencegahan. Kita sudah buat tindakan-tindakan berdasarkan kebebasan, ketelusan dan profesional SPRM, yang itu jelas,” katanya.
Sementara itu, dalam program merakyatkan SPRM bersama MPK tersebut, beliau berkata, ia merupakan kerjasama antara dua agensi yang melibatkan rakyat dalam memacu usaha membudayakan integriti dan mempergiat kempen pencegahan rasuah secara lebih meluas.
“Kami percaya melalui program ini dapat menjalinkan hubungan yang baik dengan segenap masyarakat supaya usaha memerangi rasuah dapat dilaksanakan secara komprehensif dan holistik,” katanya.
-Sinar Harian