HARRY Kane dan Dele Alli masing-masing meledak dua gol bagi menundukkan Stoke City 4-0 sekali gus merapatkan jurang Tottenham Hotspurs dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Leicester City kepada lima mata.
Beraksi sebagai pasukan pelawat, Spurs mempamerkan aksi menyerang dan ia berhasil apabila membocori gawang Stoke seawal minit ke-9 menerusi rembatan Kane yang melepasi jangkauan penjaga gol, Shay Given.
Pada babak kedua, Spurs menggandakan asakan dan bola umpanan Eriksen kepada Alli tidak disia-siakannya untuk gol kedua Spurs minit ke-67.
Giliran Kane menyumbat gol kedua tiba pada minit ke-71 selepas mendapat bola lorongan Erik Lamela yang juga jaringan ke-24 Kane musim ini.
Pelawat menutup tirai jaringan untuk gol keempat menerusi Alli pada minit ke-82, sekali gus menyaksikan kekalahan terburuk Stoke di gelanggang sendiri musim ini.
Bagi pengendali Spurs, Mauricio Pochettino membayangkan kejuaraan EPL semakin terbuka dan tidak mustahil gelaran itu akan dimenangi pasukannya.
“Kami mahu terus berjuang dan meletakkan Leicester dalam tekanan. Kami menunjukkan kesungguhan mahu menang dan terus mengejar pendahulu liga,” katanya.-sinar harian