Perak Hari Ini

Taiping 33 First Perlu Diwartakan Sebagai Warisan Negara

IPOH: Sebanyak 33 lokasi pertama di negara ini yang terdapat di Taiping (Taiping 33 First) perlu diwarta dan diiktiraf sebagai warisan negara bagi merealisasikan Taiping sebagai Bandar Warisan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming telah memaklumkan kepada beliau berkaitan hasrat Ahli Parlimen itu untuk mewartakan Taiping 33 First itu sebagai tapak warisan negara.

Ujarnya, beliau menyambut baik hasrat tersebut berikutan ia selaras dengan apa yang dirancang oleh kerajaan negeri selama ini.

“Saya telah meminta Yang DiPertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) untuk mendapatkan maklumbalas dengan lebih lanjut berkaitan dengan perancangan selama ini yang dibuat oleh kerajaan negeri sejak 1995 dimana satu pelan struktur untuk menjadikan Taiping sebagai Bandar Warisan telah dikemukakan.

“Lanjutan daripada pelan struktur yang dikemukakan itu dipersetujui dan kita telah membuat beberapa langkah penyediaan perancangan dan kemudiannya, apabila kerajaan Persekutuan menubuhkan Koridor Utara turut meletakkan Taiping sebagai salah sebuah tempat penyeliaan koridor utara,”ujarnya dalam satu sidang media bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang itu, hari ini.

Zambry berkata kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang masalah mengambil perhatian berhubung perkara yang diusulkan oleh Nga tersebut yang boleh berhubung secara terus dengan kerajaan Persekutuan.

“Manakala di peringkat kerajaan negeri, kita akan melakukan segala proses-proses yang telahpun kita laksanakan selama ini untuk menjayakan dan mempercepatkan proses itu.

“Bagi saya, perkara-perkara berkaitan pembangunan bagi satu-satu kawasan, hal-hal politik tidak perlu dimainkan kerana ianya berkepentingan awam dan untuk kemajuan negeri Perak juga,”ujarnya.

Dalam masa yang sama, Zambry berkata, pada 5 April lalu, pihak MPT Taiping telah menerima surat daripada Pesuruhjaya Warisan untuk memohon mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengan 33 tapak warisan tersebut.

Manakala, sepucuk surat lagi yang dikemukakan turut meminta supaya kerajaan negeri dapat menyelesaikan sekiranya terdapat perkara teknikal berkaitan tapak-tapak berkenaan.

Sementara itu Nga melahirkan rasa bangga apabila Taiping mempunyai warisan sejarah yang amat tinggi nilainya dan menjadi kebanggaan negara.

“Saya telah terpanggil untuk membangkitkan isu ini di Parlimen dan mendapat persetujuan daripada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz untuk mewartakan serta pengiktirafan kepada 33 warisan sejarah ini sebagai warisan negara di bawah Akta Warisan Negara 2005.

“Hasrat saya, pengiktirafan dan penwartaan ini dapat dilakukan pada tahun ini supaya kita dapat menyambut Tahun Melawat Perak 2017 sebagai usaha untuk membangunkan industri pelancongan negeri,”ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya 33 tapak warisan itu diiktiraf, bukan sahaja bangunan tersebut akan dikekalkan, malah Kementerian juga boleh memberi peruntukan untuk menjaga bangunan bersejarah dan menjadi kebanggaan generasi akan datang.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang mempunyai wawasan yang sama untuk menjadikan Taiping sebagai Bandar Warisan.

Ujarnya, sebanyak tujuh tapak yang terlibat dalam Taiping 33 First telahpun diwartakan sebagai Warisan iaitu Gereja All Saint, Muzium Perak, Penjara Taiping, Bangunan Pejabat Daerah, dan Tanah Larut Matang dan Selama, Perpustakaan Awam Taiping, Kota Ngah Ibrahim dan Sekolah Menengah King Edward VII.

Nga berkata, masih terdapat 26 lagi warisan yang belum diiktiraf dan diwartakan sebagai Warisan Negara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");