Panasnya Hari Ini

Teguran Pemimpin UMNO Bukan Bermakna Tidak Setia

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, teguran yang diberikan oleh beberapa pemimpin UMNO bukan bermakna tidak setia kepada parti, sebaliknya kesetiaan itulah yang perlu menyatakan kebenaran.

Ujar bekas Menteri itu lagi, beliau turut mengakui bimbang dengan situasi yang berlaku dalam UMNO.

“Banyak jasa UMNO sebagai parti pemerintah tapi kebelakangan ini bukan hanya merunsingkan, membimbangkan dan menakutkan. Tapi kelihatan buntu dari segi penerimaan dalam kalangan masyarakat Cina, India termasuk orang Melayu sendiri.

“Apatah lagi bagi anak-anak muda yang berusia 40 tahun ke bawah. Ini cukup membimbangkan kita kerana memikirkan masa depan negara dan anak-anak,” katanya, memetik laporan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika program Selamatkan Malaysia (Team B UMNO) di Dewan Lye Huat Garden, Napoh, Kedah, kelmarin.

Ujarnya, pelabur tidak akan berminat untuk melabur di negara ini sekiranya keyakinan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin merosot.

“Pada PRU11 apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan kuasa kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri, kita (BN) boleh menang dua pertiga kerusi.

“Menjelang PRU12, tiga isu saja menyerang Tun Abdullah iaitu harga barang, isu tingkat empat dan kadang-kadang beliau tertidur, isu itu saja buatkan BN kalah di lima negeri.

“Saya tegur Najib, keadaan ini membimbangkan saya. Bayangkan dalam keadaan tiga isu PRU12, zaman Tun Abdullah penggal kedua kita dapat 142 kerusi Parlimen. PRU13 dalam keadaan sama, kerusi BN turun dari 142 kepada 133 kerusi,” katanya.

Berikutan itu, beliau menyarankan agar perdana menteri yang juga presiden UMNO untuk mempertimbangkan semula isu-isu yang berbangkit dan berharap agar BN terus mendapat mandat rakyat pada PRU 14.

“Bimbang saya… isu cukup banyak, harga barang, 1MDB (1Malaysia Development Berhad). Saya tegur bukan bererti bila tegur kita tak setia kepada parti. Sebenarnya ketaatan kita kepada parti yang menguatkan parti.

“Kesetiaan kita menyatakan kebenarannya, keikhlasan dan kejujuran kita dalam perjuangan. Bukan kita nak sebut yes bos! gila nak dapat jawatan.

“Saya malu dengan perdana menteri sebab Sabah pun pernah bertukar kerajaan. Bukan sekali, tapi empat kali. Bila hilang kuasa, bukan mudah nak ambil semula,” tegas beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");