Membawang Hari Ini

Terharu peminat tubuh kelab

Selepas membintangi drama bersiri Ariana Rose yang ditayangkan sejak tiga tahun lalu di TV3, nama pelakon kacak Hisyam Hamid, 31, terus meniti di bibir peminat.

Bukan sahaja di Malaysia, Hisyam juga semakin dikenali di negara kelahirannya Singapura.

Bertitik-tolak daripada drama itu, segelintir peminatnya mengambil inisiatif menubuhkan kelab peminat Hisyam yang diberi nama Hisyamelters.

Menariknya, nama kelab peminat itu dipilih menerusi pertandingan yang dianjurkan di laman sosial, Instagram.

“Saya sangat terharu apabila ada pihak sanggup mewujudkan kelab peminat. Apatah lagi ketika itu saya masih baru dalam industri hiburan di sini.

“Perasaan itu bercampur-baur, malah macam tak percaya juga. Namun, perkara itu membuatkan saya jadi lebih bersemangat kerana rasa sangat dihargai biarpun baru muncul dengan satu drama,” katanya.

Menurut Hisyam, sepanjang penubuhan kelab peminat itu dia berasa sangat bertuah kerana mereka sentiasa ada bersamanya terutama pada acara membabitkan dirinya.

“Boleh dikatakan setiap acara membabitkan saya mereka pasti hadir memberi sokongan. Pendek kata, mereka sentiasa ada dengan saya.

“Bukan saja pada acara anugerah, tetapi juga sesi beramah mesra bagi mempromosikan drama. Jadi saya anggap perkara itu sangat berharga. Mereka menghargai saya, begitu juga sebaliknya.

“Paling penting, sepanjang tempoh bersama dapat dilihat kesungguhan dan keikhlasan mereka meminati saya,” katanya.

Hisyam berkata, selain isteri dan anak, peminat sudah dianggap sebahagian daripada kehidupannya.

Ada ketikanya, Hisyam memberi keutamaan lebih kepada mereka memandangkan masa untuk bersama dan berjumpa agak terbatas.

“Menjadi tanggungjawab saya untuk melayan mereka sekiranya ada yang datang untuk bergambar atau mendapatkan autograf. Bukan saja ketika berjalan, malah ada yang sanggup datang ke lokasi penggambaran. Semua itu adalah usaha yang ditunjukkan mereka.

“Tidak adil sekiranya saya tidak dapat menunaikan hasrat mereka. Saya percaya, walaupun mereka tidak berharap lebih, sekurang-kurangnya saya perlu meluangkan sedikit masa. Itu sudah cukup memadai,” katanya.

Sepanjang penubuhan Hisyamelters, pelbagai aktiviti sudah diadakan termasuk sambutan ulang tahun kelahiran Hisyam, ulang tahun kelab peminat, sesi beramah mesra, menonton wayang dan banyak lagi.

“Sejak awal penubuhan lagi, saya sudah memaklumkan kepada mereka keahlian Hisyamelters tidak terhad malah sentiasa terbuka kepada sesiapa saja.

“Saya tidak mahu kelab peminat ini mencipta jurang dengan peminat lain. Saya sentiasa mengalu-alukan kehadiran mereka dan tidak sesekali menghalang mereka untuk meminati atau menyertai kelab peminat lain,” katanya.

Bagi memastikan segala perancangan kelab peminat sentiasa berjalan lancar, Hisyam melantik lima ahli jawatankuasa bagi memantau dan menguruskannya.

Pengurus yang juga isterinya, Rosmawati Hanafi, 35, dipilih sebagai presiden Hisyammelters.

Rosmawati atau mesra disapa Mel berkata, dia menawarkan diri menjadi presiden kerana tidak mahu susahkan orang lain memberi komitmen tetap.

“Saya bukan saja mengurus kerjayanya, malah membantu dari segi perjalanan kelab peminat. Memang pada mulanya ia ditubuhkan daripada peminat, tetapi tidak ada yang mahu mengurusnya. Disebabkan itu saya secara sukarela membantu,”katanya.

Mel berkata, dia sentiasa memastikan mana-mana peminat yang menyertai aktiviti anjuran Hisyamelters pulang dengan kegembiraan.

“Alhamdulillah, kerjasama daripada semua peminat sangat bagus. Mereka sentiasa ada jika diperlukan. Paling penting mereka tidak pernah berkira,” katanya.

Menurut Mel, dia sentiasa memastikan jadual kerja suaminya diisi dengan aktiviti bersama peminat.

Walaupun tidak kerap, sekurang-kurangnya Hisyam perlu meluangkan sedikit waktu bersama mereka.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");