Sukan Hari Ini

Tiada masa untuk rehat

Johor Bahru: Tempoh singkat hanya 48 jam buat Mario Gomez merencana taktikal ampuh apabila melayani kunjungan Kedah pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Larkin, malam ini.

Ternyata jadual yang padat dan tiada ruang untuk berehat memaksa pengendali dari Argentina itu meneruskan latihan sebaik tiba dari Myanmar, kelmarin dan hanya dua hari sahaja untuk berlatih selepas ‘berpisah’ selama tiga hari sejak Isnin lalu dengan sembilan tonggak utama menjalani latihan bersama penolong jurulatih Raul Linghi.

“Semua perancangan berjalan dengan lancar malah saya mendapat maklum balas kecederaan yang dialami S Kunanlan tampak semakin pulih namun saya belum putuskan sama ada dia akan diturunkan atau sebaliknya.

“Kami tewas 1-2 pada separuh akhir pertama dan ia bukan penamat buat Johor DT sebaliknya masih ada 90 minit lagi pertarungan dan kami hanya perlu jaringkan satu gol sahaja untuk layak ke pentas final buat kali kedua selepas pernah beraksi pada 2013.

“Saya mengingatkan setiap pemain supaya tidak leka kerana pengalaman ketika dua aksi lalu menyaksikan Kedah pantas menjaringkan gol di awal babak pertama sudah cukup beri pengajaran dan setiap pemain harus berada dalam keadaan bersedia malah perlu fokus setiap saat,” katanya.

Gomez juga opimis gandingan Juan Martin Lucero dan Jorge Pereyra Diaz akan terus menjadi sandaran utama Johor DT untuk memburu gol sambil merancang sama ada ingin menurunkan Amirulhadi Zainal atau sebaliknya memandang pemain itu beraksi konsisten pada aksi menentang kelab dari Myanmar.

Apapun beliau bakal tampil dengan taktikal berbeza apabila melayani skuad Helang Merah tatkala lawan kemungkinan lebih gemar beraksi corak bertahan bagi mempertahankan kelebihan 2-1.

“Kedah tidak dapat turunkan dua tonggak utama nombor 8 dan nombor 16 (Liridon Krasniqi dan Amirul Hisyam Awang Kechik) akibat penggantungan namun mereka dibarisi pemain muda yang sentiasa bekerja keras di padang dan kami kena berhati-hati.

“Ia ibarat aksi ‘final sebelum final’ dan kami akan gempur habis-habisan bagi memburu gol awal dan pastinya saya mahu pemain Johor DT ambil peluang untuk jaringkan gol jika sudah terhidang dan tidak lagi mensia-siakan,” kata Gomez.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");