Berita Hari Ini

Tiada provokasi agama

Kangar: Salah faham beberapa pihak berhubung tajuk ceramah Dr Zakir Naik dilihat sebagai punca perjalanan program jelajah pendakwah antarabangsa berkenaan bertukar menjadi kontroversi.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, pihak tertentu yang menuduh Dr Zakir cuba menimbulkan provokasi dan penghinaan kepada agama lain itu tidak memahami kandungan sebenar ceramah berkenaan.

“Saya rasa mereka tidak mendengar dan melihat sendiri kandungan (ceramah) disampaikan oleh Dr Zakir, dan berdasarkan apa yang saya lihat tiada pun sebarang provokasi atau penghinaan dilakukan kepada agama lain dalam siri ceramahnya di Terengganu.

“Tajuk yang dibahaskan oleh Dr Zakir sederhana dan lebih berbentuk ilmiah mengenai kesamaan agama. Saya tidak nampak pun semangat ketidakpuasan hati masyarakat membuak-buak selepas pergi ke ceramahnya untuk menimbulkan provokasi terhadap agama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Sidang Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-13, di sini, semalam.

Mohd Asri berkata, pihaknya akur seandainya tiada kesempatan yang sesuai untuk membawa Dr Zakir ke Perlis bagi menyampaikan ceramahnya.

“Kami (Jabatan Mufti Perlis) sudah berhubung dengan pihak penganjur (program jelajah Dr Zakir) dan mereka ada memberikan beberapa alternatif lain disebabkan kesuntukan masa.

“Malah, mereka mencadangkan pihak kami untuk menetapkan tarikh yang sesuai di lain masa ketika kunjungan Dr Zakir dengan menjadikan Perlis sebagai destinasi utama dalam perbincangan ilmiah itu,” katanya.

Beliau berharap sekiranya Dr Zakir dapat berkunjung ke Perlis untuk sesi ceramahnya, pihak penganjur dapat mencadangkan topik yang sesuai agar tidak menimbulkan syak wasangka di kalangan masyarakat di negara ini.

-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");