Jenayah

Tindakan lolos diri berakhir tragedi

TAMPIN: Nasib dua rakan yang nekad memecut kereta lari dari ditangkap polis sejauh lebih 25 kilometer berakhir dengan tragedi apabila salah seorangnya maut, manakala seorang lagi cedera parah apabila kereta dinaiki terbabas di persimpangan Taman Mahsuri, Pulau Sebang, Alor Gajah, semalam.

Dalam kejadian berkenaan, wanita berusia 35 tahun itu maut tercampak keluar dari kereta, manakala rakan lelakinya berusia 40 tahun dipercayai pemandu kenderaan tersebut cedera parah di kepala dan mengalami pendarahan dalam otak.

Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Wooi Kooi Cheang, suspek lelaki itu mempunyai 16 rekod jenayah lampau di mana lima daripadanya membabitkan kes jenayah seperti curi kereta dan pecah rumah, manakala 11 lagi kes berkaitan dadah.

“Pemeriksaan ke atas badan suspek lelaki di Hospital Tampin juga telah menjumpai empat paket lutsinar disyaki mengandungi dadah Heroin, empat paket lutsinar disyaki syabu dan 21 biji eramin 5. Suspek berkenaan kini dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi rawatan lanjut.

“Sementara suspek wanita yang mati pula mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Kedua-dua suspek berasal dari Tampin. Susulan insiden ini, pemeriksaan ke atas kereta suspek telah membawa penemuan sebilah parang panjang, sebilah pisau lipat spring, dua bilah gunting, seutas rantai leher, tiga telefon bimbit, serangkai anak kunci dan dua keping cukai jalan yang mana salah satunya tiada rekod,” katanya.

Kooi Cheang berkata, kira-kira jam 5.00 pagi, kereta suspek jenis Proton Wira telah memintas lori yang membawa muatan barang runcit dari Seremban ke Segamat di jalan besar hadapan Pasaraya Giant Tampin.

“Pemandu lori berusia 24 tahun dan kelindan berusia 21 tahun mulai curiga apabila kereta berkenaan memandu dalam kadar yang perlahan dan pemandu kereta berkenaan tidak membenarkan mereka memintas kembali.

“Sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat berdekatan pam minyak Petronas Tampin, pemandu lori membelok ke kiri jalan.

“Bagaimanapun, kereta suspek yang berada di hadapan lori mangsa telah bertindak mengejar lori tersebut,” katanya.

Beliau berkata, kereta suspek memintas lori berkenaan serta mengeluarkan pisau sambil mengarahkan lori berkenaan berhenti, namun dalam masa sama, sebuah kereta peronda polis berada di lokasi kejadian dan suspek terus melarikan diri.

Menurutnya, bertindak atas maklumat Team Task Force samun dan MPV IPD Tampin terserempak dengan kereta suspek jenis Proton Wira.

Polis menghampiri kereta tersebut dan pada masa itu seorang anggota telah membuka pintu sebelah pemandu dan suspek lelaki telah menikam kaki kiri anggota polis tersebut menggunakan gunting.

“Anggota tersebut terjatuh di tepi jalan, diheret serta mengalami kecederaan kaki kanan dan menerima empat jahitan. Sementara suspek bertindak memecut kereta melarikan diri dan polis terus mengejar dan mengekori suspek sehingga ke Alor Gajah,” katanya.

Katanya, kereta suspek berpatah balik ke Pulau Sebang dan menuju ke Jalan A Famosa Simpang Ampat dan berpatah balik lalu terbabas di tepi jalan persimpangan Taman Mahsuri Pulau Sebang Alor Gajah.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");