Panasnya Hari Ini

Tukar Jawatan Sensitif Bantu Tingkat Budaya Berintegriti – SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpandangan bahawa pendekatan menukar pegawai di jabatan atau yang menyandang jawatan sensitif adalah selari dengan usaha meningkatkan budaya berintegriti tinggi dalam kalangan penjawat awam.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, SPRM berkata ia khususnya sejak pelaksanaan penubuhan Unit Integriti di agensi-agensi kerajaan dan pihaknya menyambut baik pendekatan itu seperti yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa baru-baru ini.

“SPRM juga berpandangan bahawa pendekatan ini jika dilaksanakan secara menyeluruh dan efektif akan membantu usaha menutup atau meminimumkan ruang dan peluang jenayah rasuah.

“Sekali gus tindakan ini akan mempertingkatkan tadbir urus baik dan mengelak berlakunya ketirisan,” katanya.

Sementara itu, SPRM juga berharap agar ketua-ketua perkhidmatan dan jabatan mengambil tindakan sewajarnya mengikut pekeliling sedia ada tentang penggiliran tempat kerja (job rotation) apabila wujud keperluan untuk menukar seseorang pegawai sama ada ke bahagian lain secara dalaman atau ke agensi yang lain.

“Sokongan dan komitmen ketua agensi atau kementerian adalah sangat penting.

“Penggiliran tempat kerja dan pertukaran seseorang pegawai ke bahagian lain dalam agensi asal atau ke agensi lain merupakan antara syor yang sering diberikan oleh SPRM menerusi strategi dan perakuan Kertas Pemeriksaan SPRM apabila menyediakan khidmat pemeriksaan dan perundingan bagi memperbaiki sistem dan prosedur kerja,” tambah SPRM lagi.

Jelas SPRM, pelaksanaan sistem giliran tempat kerja tersebut secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan peluang terdedah kepada jenayah rasuah atau salah guna kuasa.

Dalam pada itu, tegas SPRM lagi, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama agensi-agensi penguat kuasa pada tahun 2015 berhubung syor pelaksanaan sistem giliran tempat kerja.

“Justeru, SPRM akan membincangkan bersama Ketua Setiausaha Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) secara lanjut untuk menguatkuasakan syor tersebut,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa baru-baru ini mengumumkan bahawa seramai 50 pegawai yang menyandang jawatan sensitif di pelbagai kementerian akan ditukarkan secara dalaman di agensi masing-masing atau ke kementerian lain bermula pada bulan ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");