PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunggu pengumuman kerajaan berhubung perkhidmatan pengangkutan dalam talian Uber dan GrabCar sebelum mengambil tindakan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, setakat ini belum ada pemandu kereta Uber dan GrabCar yang dikenakan tindakan memandangkan kerajaan masih mengkaji perkhidmatan berkenaan.
“Jadi kena tunggu polisi kerajaan (mengenai Uber dan GrabCar). Kalau perkhidmatan itu dibenarkan, apa kaedahnya,” katanya ketika ditanya mengenai perkhidmatan Uber dan GrabCar selepas sambutan Hari JPJ ke-70, semalam.
Selasa lalu, kira-kira 300 pemandu teksi meletakkan teksi di bahu jalan sehingga menghalang lalu lintas di sekitar kawasan Bukit Bintang sebagai bantahan perkhidmatan Uber dan GrabCar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui blog NajibRazak.com kelmarin berkata, satu penyelesaian adil dan saksama akan diputuskan dalam masa terdekat berhubung isu teksi demi kepentingan pengguna dan penyedia perkhidmatan itu.
Kepentingan kedua-dua pihak itu tetap menjadi pertimbangan utama kerajaan ketika rangka penyelesaian dibincang dan disediakan.
Sementara itu, pada majlis semalam, Ismail melancarkan buku Panduan Pengubahsuaian dan Tip Penjagaan Kenderaan yang akan dijual di kedai koperasi kakitangan JPJ seluruh negara menjelang bulan depan.
Dalam pada itu itu, Ismail berkata, majlis sambutan Hari JPJ ke-70 Peringkat Kebangsaan akan diadakan secara besar-besaran di tempat letak kereta Istana Kehakiman di sini, pada 10 April.
Antara aktiviti dirancang pengurangan kompaun saman sehingga 50 peratus, kaunter 1JPJ, perbarisan kontinjen dan demonstrasi pasukan tindakan khas. – Bernama