Membawang Hari Ini

Ulangi saat indah 14 tahun lalu

Kurang seminggu dari sekarang sekuel filem romantik popular Indonesia Ada Apa Dengan Cinta? 2 (AADC 2) akan ditayangkan di seluruh negara bermula 28 April ini.

Pelakon utamanya Nicholas Saputra, 32, ketika ditemu bual enggan berkongsi lanjut mengenai jalan cerita filem ini namun memberi bayangan AADC 2 lebih romantik dan hebat.

Bagaimanapun, Nicholas yang melakonkan watak Rangga masih memiliki perasaan sama ketika dia mula-mula membintangi filem pertamanya yang diterbitkan pada 2002.

“Bagi saya, AADC sangat hebat. Ketika saya memulakan penggambaran AADC 2, perasaan itu tetap sama. Saya masih dapat rasakan saat indah 14 tahun lalu.

“Saya sangat seronok, lebih-lebih lagi dapat bekerjasama semula dengan pelakon dan pasukan produksi yang sama. Biarpun pengarahnya berbeza, namun aura AADC itu masih kuat dalam diri ini,” katanya.

Selain Nicholas, AADC 2 turut menampilkan pelakon yang sama seperti Dian Sastrowardoyo, Titi Kamal, Sissy Pricillia, Adinia Wirasti dan Dennis Adiswara serta diarah Riri Riza.

Pengarah AADC yang pertama ialah Rudy Soedjarwo.

Menurut Nicholas, perasaan itu datang secara semula jadi dan ia membuatkannya lebih yakin jika AADC 2 mampu memberi momentum sama dengan AADC yang pertama.

“Saya rasa belum ada mana-mana sekuel filem yang diterbitkan dalam tempoh panjang seperti AADC 2. Tidak dinafikan banyak pengalaman yang saya peroleh ketika berlakon dalam AADC apatah lagi ia adalah filem pertama saya.

“Apabila berlakon semula dalam filem, saya meletakkan diri seperti pelakon baru. Saya tidak mahu menjadikan pengalaman yang ada sebagai alasan bersikap sambil lewa.

“Disebabkan itu, apabila filem ini siap sepenuhnya saya mengambil keputusan untuk tidak menontonnya terlebih dahulu. Saya mahu rasa debaran itu sama seperti penonton,” katanya.

Nicholas berkata, dia juga tidak pernah menyangka penerbitnya Mira Lesmana mahu menerbitkan semula AADC 2.

Idea menerbitkan sekuel filem ini tercetus ketika mereka mengadakan majlis pertemuan semula pelakon dan kru AADC pada 2012 bagi meraikan ulang tahun ke-10 filem terbabit.

“Ketika menjalani penggambaran AADC yang pertama, tiada seorang pun terfikir mengenai sekuel filem itu. Akhirnya ketika sesi pertemuan semula itu, barulah penerbitnya menyatakan hasrat itu,” katanya.

Nicholas berkata, dia tidak mengambil masa lama untuk menyatakan persetujuan membintangi sekuEl filem berkenaan yang memulakan penggambaran pada Oktober tahun lalu.

Terdahulu, penerbit dan pengarah memanggil Nicholas dan Dian untuk berbincang mengenai jalan cerita filem ini.

“Sebagai pelakon, saya tidak mengikut apa saja kehendak skrip. Sebaliknya saya dan pelakon lain juga memberikan idea bagi memberikan sentuhan yang lebih baik.

“Perkongsian itu sedikit sebanyak membantu jalan cerita supaya filem ini lebih dekat di hati penonton,” katanya.

AADC 2 terbitan Miles Film dengan kerjasama Legacy Pictures juga bakal ditayangkan serentak di tiga negara iaitu Indonesia, Malaysia dan Brunei.

Tidak harapkan anugerah

Nicholas yang pernah memenangi Anugerah Cinta untuk Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Indonesia 2005 menerusi filem Gie tidak pernah mengharapkan sebarang anugerah setiap kali muncul dengan filem baru.

“Menang anugerah itu adalah bonus dan sesuatu yang bagus dalam kerjaya seseorang artis. Tetapi berbeza dengan saya apabila itu bukan fokus utama terbabit dalam industri perfileman Indonesia.

“Sudah memadai buat saya apabila setiap karya itu mendapat maklum balas baik daripada pengkritik filem dan penonton. Bagi saya itu adalah pencapaian terbaik. Malah itu adalah tanggungjawab sebenar pelakon terhadap karya itu,” katanya.

Nicholas berkata, berbekalkan bakat lakonan dimiliki dia mahu menjadi inspirasi kepada orang ramai selain akan terus berlakon dalam cerita yang berkualiti.

Bercerita mengenai hobinya dalam bidang fotografi, Nicholas berkata, minat itu timbul sejak di bangku sekolah lagi.

“Ketika menuntut di Universiti Indonesia saya mengambil kelas fotografi sebagai subjek tambahan. Malangnya ketika itu laman sosial seperti Instagram belum wujud.

“Jadi sekarang saya menjadikan Instagram sebagai album peribadi. Di situ peminat boleh melihat pelbagai jenis foto yang saya ambil. Malah kebanyakannya diambil ketika saya bercuti di mana-mana,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nicholas juga akan muncul dalam sebuah filem terbaru arahan pengarah Malaysia iaitu Dain Said.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");