Miri: Suasana di pekarangan Balai Polis Pusat Miri, di sini, semalam, kecoh apabila seorang wanita mengamuk sambil menuduh seorang lelaki mencuri telefon bimbitnya.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, wanita berusia 40 tahun berkenaan memegang lelaki itu sambil menjerit sehingga menarik perhatian orang ramai dan polis.
Sumber berkata, wanita itu kehilangan telefon bimbitnya itu ketika berada di pusat siber komputer di Wisma Tunku, di sini kerana ada urusan kerja.
“Kebetulan ketika itu, lelaki berusia lingkungan 40 tahun itu ditemani isterinya duduk bersebelahan wanita di pusat siber komputer terbabit.
“Mangsa mendakwa meletakkan telefon bimbitnya di tepi komputer, namun hilang dan dia mengesyaki lelaki terbabit mengambilnya,” katanya.
Menurut sumber, wanita itu mahu memeriksa beg sandang lelaki itu, namun dia tidak mengizinkannya kerana mendakwa tidak mencuri telefon bimbit mangsa.
“Lelaki itu berlagak berani mahu menyelesaikan perkara itu Balai Polis Pusat Miri kononnya untuk membuktikan dia tidak bersalah,” katanya.
– Harian Metro