Berita Hari Ini

24 pesara polis terima bantuan TAWP

IPOH – Seramai 24 pesara polis di Perak menerima bantuan kebajikan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) yang disalurkan khusus untuk membantu mereka yang pernah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Perak, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, bantuan itu melibatkan lima pecahan iaitu bantuan khairat kematian, pelajaran, perubatan, bencana alam dan alat pergerakan serta anggota badan.

“Setiap penerima bantuan khairat kematian menerima RM1,000 manakala bagi bantuan pelajaran mengikut kategori iaitu sekolah rendah (RM150), sekolah menengah (RM250) dan RM500 untuk pengajian tinggi.

“Bagaimanapun, jumlah diterima bergantung kepada yang diperlukan dan pesara perlu memohon serta melalui proses dilakukan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Bantuan ini hanya diperoleh sekali seumur hidup dan bukannya setiap bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan cek kepada pesara polis dan waris.

Sehubungan itu, Shaharon berharap sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu pesara dan waris untuk menjalani kehidupan harian.

Sementara itu, penerima, Salmah Samsudin, 54, berkata, dia menerima sumbangan khairat kematian sebanyak RM1,000 selepas suaminya, Lans Koperal Abdul Aziz Mohamed Jam yang bertugas di Balai Polis Langkap meninggal dunia akibat serangan jantung pada tahun lalu.

Katanya, wang yang diperoleh itu akan disimpan sebelum digunakan untuk menunaikan ibadah haji pada tahun depan.

“Jika ada rezeki, makcik akan menggunakan wang itu untuk pergi haji bersama ahli keluarga lain,” katanya.

Seorang lagi penerima bantuan, Goh Hong Keat, 37, berkata, wang yang diterima akan digunakan bagi upacara sembahyang mendiang ibunya.

“Bapa saya adalah seorang anggota polis yang meninggal dunia pada 1993 dan wang bantuan dia sudah diterima sebelum ini.

“Pada kali ini, saya menerima bantuan wang untuk ibu pula yang baru meninggal dunia pada Ogos tahun lalu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Polis Perak kerana masih sudi menghulurkan bantuan kepada kami sekeluarga,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");