Panasnya Hari Ini

Agong Tiada Peruntukan Untuk Pecat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR : Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai sebarang peruntukan yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong untuk memecat Perdana Menteri.

Ujarnya, amat sedikit tindakan yang boleh dilakukan oleh Seri Paduka berkenaan petisyen Deklarasi Rakyat.

“Sudah tentu, ia cuma untuk memberi gambaran bahawa Perdana Menteri telah kehilangan sokongan, anda sentiasa boleh mendapatkan satu juta tandatangan dan menghantar petisyen mengandungi tandatangan ini kepada Agong.

“Tetapi persoalannya kemudian ialah adakah kamu akan mendesak Agong memecat Perdana Menteri walaupun itu menyalahi undang-undang?”soalnya, lapor Free Malaysia Today.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa sebanyak satu juta tandatangan berjaya dikumpul menerusi Deklarasi Rakyat.

Ujarnya lagi, semua pihak termasuk penentang kerajaan perlu menghormati dan mematuhi Perlembagaan.

Jelas beliau lagi, Perlembagaan secara khusus menyatakan bahawa Anggota Dewan yang mendapat kepercayaan majoriti Anggota-anggota Dewan dipilih menjadi Perdana Menteri.

“Atas semangat yang sama, jika Perdana Menteri hilang sokongan majoriti Ahli-ahli Dewan, maka beliau perlu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Ini bermakna bukan hanya Perdana Menteri, tetapi parti yang dipimpin Perdana Menteri disingkirkan dan parti dari pihak lain mendapat keperayaan untuk membentuk kerajaan perpaduan,”ujarnya.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan terdapat ruang untuk berbuat demikian sekiranya anggota-anggota Parlimen dari parti yang memerintah berpaling kepada pembangkang.

“Selain itu, tiada peruntukan dalam Perlembagaan yang membolehkan Agong memecat Perdana Menteri.

“Parti pimpinan Perdana Menteri sendiri harus berbuat demikian (seperti dalam kes bekas Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim) atau Anggota Parlimen dari parti pimpinan Perdana Menteri sendiri perlu menyeberang ke kem pembangkang (seperti dalam kes bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin),”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");