Sukan Hari Ini

Akhirnya!!!

Monaco: Juara dunia Lewis Hamilton (gambar) mengakhiri penantian untuk muncul juara semalam apabila meraih kemenangan tidak diduga buat Mercedes pada perlumbaan Grand Prix Monaco yang dipenuhi pelbagai insiden.

Memanfaatkan kelewatan pencabar utamanya, pelumba Red Bull dari Australia Daniel Ricciardo di hentian pit, Hamilton menguasai perlumbaan untuk kejayaan pertamanya dalam sembilan perlumbaan sejak menjulang gelaran ketiga pada Grand Prix Amerika Syarikat Oktober lalu.

Ricciardo yang bermula dari petak pertama buat kali pertama, mendahului perlumbaan sehingga menuju ke hentian pit selepas pusingan ke-32 untuk menukar tayar sedangkan mereka tidak bersedia untuknya. Situasi itu menyebabkannya menduduki tempat kedua, ketinggalan 7.2 saat kepada juara dunia tiga kali itu.

Ini kali kedua Hamilton memenangi perlumbaan di litar jalanan terkenal di Mediterranean itu. Kemenangan itu juga yang pertama buatnya musim ini dan ke-44 sepanjang karier.

Ia juga mengulangi kejayaan 2008 apabila dia memulakan perlumbaan di petak ketiga dan menang dalam keadaan litar basah.

Pelumba Mexico Sergio Perez ketiga, ketinggalan 6.5s, namun mendahului juara dunia empat kali Sebastian Vettel dari Jerman (Ferrari) dan juara dua kali Fernando Alonso (Sepanyol) yang menduduki tangga kelima pada ulang tahun ke-50 McLaren sejak penampilan pertama pada 1966.

Kemenangan Hamilton menghidupkan kembali semangatnya untuk mempertahankan kejuaraan dan dengan ketiadaan Rosberg di podium, merapatkan jurangnya kepada 24 mata berbanding pendahulu, kurang daripada satu kemenangan dalam perburuan kejuaraan.

“Saya gembira kerana hari ini berjalan seperti yang diharapkan,” kata Hamilton.

“Terima kasih juga kepada pasukan. Saya kehilangan kata-kata. Saya berdoa untuk hari seperti ini dan ia menjadi kenyataan dan saya sungguh gembira. Ini penantian yang cukup lama.”

Ricciardo yang berang bergelut untuk mengawal perasaan dan bahasanya.

“Saya tidak mahu mengulas mengenai perlumbaan ini. Dua minggu sebelum ini saya juga mengalami situasi sama. Ia cukup menyakitkan hati.”-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");