Jenayah

Bahana nak jimat

Gombak: Tindakan sebuah syarikat rekaan animasi di Batu Caves, dekat sini, menggunakan perisian cetak rompak bagi menjimatkan kos membawa padah apabila diserbu pihak berkuasa.

Kegiatan itu terbongkar selepas pejabat syarikat diserbu anggota Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Gombak, kira-kira jam 10 pagi, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Gombak Anuar Zaidi Mohamed berkata, beberapa peralatan komputer dan perisian cetak rompak membabitkan nilai keseluruhan RM165,000 dirampas.

Katanya, serbuan bersama wakil pemilik hak cipta yang menerima aduan berhubung penggunaan perisian cetak rompak di syarikat berkenaan.

“KPDNKK merampas lima unit komputer yang dipercayai mengandungi 15 salinan perlanggaran perisian komputer dipercayai tiruan.

“Beberapa pekerja syarikat berkenaan turut diambil keterangan untuk membantu siasatan lanjut ketika serbuan dilakukan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti jenis perisian yang dimuat turun di setiap komputer yang dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hak Cipta 1987.

Katanya, jika sabit kesalahan, peniaga boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun atau denda maksimum RM20,000 bagi setiap satu salinan dan minimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Pihak penguat kuasa KPDNKK akan terus memantau penggunaan perisian tiruan dari semasa ke semasa termasuk bekerjasama dengan syarikat ataupun pemilik hak cipta dalam usaha membanteras kegiatan berkenaan,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");