Sukan Hari Ini

Beregu harus main peranan – Seu Bock

China: Malaysia tidak boleh hanya bergantung kepada pemain perseorangan untuk menyumbang mata apabila bertemu Denmark dalam aksi separuh akhir Piala Thomas di Pusat Sukan Kunshan, hari ini.

Jurulatih perseorangan, Tey Seu Bock, berkata gandingan beregu negara perlu memainkan peranan mereka untuk menyumbang mata dalam misi melangkah ke final buat kali kedua berturut-turut.

“Denmark memiliki pasukan yang seimbang kerana mempunyai tiga pemain perseorangan dan beregu yang kuat. Sebelum ini kita lebih berharap kepada pemain perseorangan tetapi bertemu Denmark perlu ada kombinasi antara perseorangan dan beregu.

“Atas kertas memang Denmark lebih kuat berbanding pasukan kita tetapi kalau semangat juang tinggi ditunjukkan pemain seperti sebelum ini dapat dikekalkan, kita tetap ada peluang,” kata Seu Bock.

Malaysia mengesahkan slot ke separuh akhir selepas menewaskan Taiwan 3-1 hasil kemenangan diraih Datuk Lee Chong Wei, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, semalam.

Pemain perseorangan negara setakat ini mempamerkan aksi cukup konsisten apabila menang semua perlawanan manakala beregu utama, Goh V Shem-Tan Wee Kiong masih bergelut untuk beraksi pada tahap prestasi terbaik termasuk tewas kepada Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin 21-16, 19-21, 19-21.

Malaysia dijangka menurunkan barisan pemain yang sama hari ini dengan Chong Wei sebagai perseorangan pertama, Iskandar kedua dan Chong Wei Feng ketiga manakala V Shem-Wee Kiong dan Kien Keat-Boon Heong bakal terus diberi kepercayaan menggalas tugas dalam acara beregu.

Denmark pula yang mara ke separuh akhir selepas menundukkan juara bertahan, Jepun 3-2, malam tadi hampir pasti mengharapkan tiga pemain perseorangan, Viktor Axelsen, Jan O Jorgensen dan Hans Kristian Vittinghus mampu menyumbang mata selain beregu Mathias Boe-Mads Conrad Petersen dan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.

Malaysia dijadual bertemu Denmark 7.00 malam ini.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/155605

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");