Sukan Hari Ini

Bisa Semut Merah

Di sebalik tanggapan ramai pihak bahawa pasukan kelab PKNS FC hanya menjadi pelengkap dalam saingan kali ini, pasukan itu membuktikan keupayaan melangkah ke final Superbest Power Piala FA 2016.

Menampilkan ramai muka-muka yang kurang dikenali bukan alasan buat pemain di bawah kendalian E Elavarasan untuk tidak melakukan kejutan demi kejutan dalam setiap langkah mereka memburu tempat ke perlawanan akhir.

Malah, dalam kenyataan Elavarasan di media sebelum mengharungi setiap perlawanan Piala FA, tiada nada riak ditunjukkan, malah hanya mengharapkan persembahan terbaik selain semangat ‘Never Give Up, Never Surrender’ dan taktikal jitu diterapkan dalam diri setiap pemain.

Nyata, pendekatan yang dilakukan Elavarasan ke atas pemain mereka membuahkan hasil, bermula dengan kejutan pada perlawanan pertama berjaya menumbangkan antara pasukan pilihan, Terengganu, 3-1.

Bisa gigitan Semut Merah terus menjadi-jadi apabila menang 3-2 ke atas pendahulu Liga Super, Felda United pada perlawanan kedua.

Pada perlawanan ketiga, PKNS diundi bertemu pasukan Liga Perdana, Sime Darby FC untuk pertembungan suku akhir secara timbal balik.

Bagaikan tugas mudah buat PKNS,Semut Merah menang besar 4-0 pada suku akhir pertama dan menang 3-2 pada suku akhir kedua.

Langkah cemerlang PKNS bagaikan tersentak apabila diundi menentang Perak di peringkat separuh akhir dan ia seolah-olah bakal menjadi kenyataan apabila The Bos Gaurus berjaya mengikat kedudukan 2-2 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Melihat misi sukar untuk menang di Ipoh, Elavarasan bagaimanapun memberi amaran kepada Perak bahawa tiada laluan mudah akan diberikan kepada pasukan itu yang bermain di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri.

Entah nasib atau faktor semangat, PKNS berjaya mengejutkan Perak dan melangkah ke perlawanan akhir apabila menang 2-1.

Dilabel underdog

DALAM pertemuan final ini, PKNS dilabelkan sebagai pasukan underdog bagi menghadapi Johor Darul Ta’zim (JDT). Semestinya ia perhitungan sukar buat PKNS yang bakal berdepan pasukan yang mempunyai antara pemain terbaik yang ada di negara ini.

Namun, realiti yang terpaksa ditempuh PKNS itu langsung tidak mendatangkan gentar buat Elavarasan yang menyifatkan pemainnya 100 peratus bersedia bagi menghadapi JDT.

“Banyak pemain dalam pasukan JDT yang bagus dalam bahagian mereka. Contohnya pasukan itu mempunyai Safiq Rahim, Jorge Pereyra Diaz dan ramai lagi pemain berkaliber tinggi.

“Namun, apa yang boleh saya katakan, kami adalah pasukan underdog dan tiada tekanan kepada kami, sebaliknya JDT yang mempunyai tekanan kerana mereka perlu menang perlawanan ini.

“Saya juga menganggap perlawanan ini adalah 50-50 dan kedua-dua pasukan mempunyai peluang,” katanya.

Penyerang import kelebihan PKNS

JIKA diamati, kunci utama kemaraan PKNS adalah terletak kepada keupayaan penyerang importnya iaitu Gabriel Guerra dan Juan Manuel Cobelli yang telah meledak sembilan gol sepanjang kempen Piala FA kali ini.

Dalam beberapa perlawanan contohnya ketika bertemu Sime Darby dan Perak, kedua-dua pemain serangan ini menjadi wira menentukan kemenangan pasukan.

Jika Elavarasan mampu menggerakkan dua pemain import mereka ini dengan baik selain bahagian tengah dan pertahanan berjaya membentuk satu kombinasi kukuh, tidak mustahil PKNS akan menjadi juara.

Namun, apa jua yang diperkatakan, hari ini bakal menjadi penentu siapa yang mampu menakluki Stadium Shah Alam dan seterusnya menjulang trofi Piala FA yang pertama buat kedua-dua pasukan.

Adakah gigitan Semut Merah mampu menumbangkan ngauman Harimau Selatan?

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");