Sukan Hari Ini

Buffon tak putus asa

Milan: Gianluigi Buffon (gambar) berharap masih mampu muncul pemenang Liga Juara-Juara bersama Juventus apabila dia dan pertahanan Andrea Barzagli menandatangani kontrak sambungan dua tahun bersama kelab juara Serie A itu, kelmarin.

Buffon, penjaga gol Itali, menikmati satu lagi musim penuh kejayaan bersama kelab gergasi Turin itu, membantu mereka menyamai rekod lima kejuaraan liga berturut-turut dan layak ke final Piala Itali menentang AC Milan pada 21 Mei ini.

Buffon mencatat rekod baharu Serie A 974 minit tidak dibolosi gol ketika kempen liga Juve namun sekali lagi penjaga gol berusia 38 tahun itu terpaksa menanti kegemilangan Liga Juara-Juara.

Kurang setahun selepas layak ke final, apabila mereka kecundang 1-3 kepada Barcelona, Juve disingkirkan oleh Bayern Munich pada pusingan kedua musim ini dan Buffon mengakui kekalahan pada aksi kedua itu menjejaskan emosinya.

“Sasaran yang saya tetapkan di sini sering kali berkaitan pasukan secara keseluruhan dan melakukan kerja secara individu juga,” kata Buffon, yang sekadar muncul naib juara Liga Juara-Juara bersama Juve pada 2003 tetapi tidak pernah memenangi trofi itu.

“Satu perkara yang baik bagi saya adalah menangani emosi saya dengan lebih baik, seperti perasaan terlalu kecewa apabila saya melepaskan gol kedua pada perlawanan timbal balik menentang Bayern Munich.”

Buffon dan Barzagli, 35, adalah benteng utama yang menyaksikan kejaguhan Juve dalam liga domestik sejak beberapa musim lalu dan dianggap pemain penting buat kelab dan pasukan kebangsaan Itali.

Ketika kontrak masing-masing akan tamat hujung musim ini, mereka kini dijangka menamatkan karier di kelab itu apabila kontrak baharu mereka berakhir pada 30 Jun 2018.

Buffon jelas kelihatan tidak menunjukkan tanda-tanda kemerosotan dan dia berkata: “Saya amat bangga dengan kepercayaan diberikan Juventus kepada saya sekali lagi dan saya harap cerita hebat saya bersama kelab ini akan berterusan dengan lebih banyak kejayaan.”-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");