Perak Hari Ini

“Bukan Sekadar Amanah Dan Tanggungjawab Pada Parti”- Calon BN Kuala Kangsar

KUALA KANGSAR:Barisan Nasional (BN) Perak hari ini mengumumkan Datin Mastura Yazid, isteri kepada arwah Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar.

Pengumuman tersebut dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di hadapan ribuan penyokong BN di Safari Resort, di sini pada petang tadi.

Bagaimanapun Mastura tidak hadir ke majlis pengumuman tersebut kerana masih berada dalam tempoh edah dan telah diwakili oleh anaknya untuk menerima watikah pelantikan calon.

Menerusi video yang ditayang kepada umum sejurus selepas pengumuman tersebut, beliau mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti khususnya kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar Perak atas kepercayaan, menamakan beliau sebagai calon.

“Sudah tentu, ini adalah amanah berat yang diberikan kepada saya kerana ia bukan hanya sekadar menggalas tanggungjawab dan kepercayaan parti kepada saya tetapi kerusi Parlimen Kuala Kangsar sebelum ini disandang oleh arwah suami saya sendiri.

“Namun, saya memohon maaf kepada semua kerana jika menurut amalan parti dan gerak kerja pilihan raya, selaku orang yang dinamakan sebagai calon, saya seharusnya berada bersama-sama seluruh jentera parti dan masyarakat untuk berkempen bagi berkongsi semangat untuk memenangi pilihan raya kecil ini, tetapi batas agama seperti yang dijelaskan dalam hukum dan pandangan Mufti serta para agamawan, menghadkan pergerakan saya sebagai isteri yang masih di dalam tempoh EDAH selama empat bulan sepuluh hari dan (EHDAH).

“Tempoh syarak ini wajib saya patuhi. Sehubungan itu saya amat mengharapkan, kefahaman seluruh jentera parti, khususnya di peringkat Cawangan dan Pusat Daerah Mengundi akan kedudukan saya ini.

“Insha Allah, sekiranya diberikan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen nanti, saya akan melaksanakan amanah yang diberikan sebaik mungkin sebagai kesinambungan kepada apa yang telah dirintis oleh arwah suami saya,” katanya.

Datin Mastura Yazid, merupakan seorang graduan undang-undang daripada universiti terkemuka perundangan dunia Lincoln’s Inn di United Kingdom dan bertugas sebagai seorang peguam selama enam tahun.

Ibu kepada empat orang anak, Datin Mastura juga merupakan seorang yang bergiat dalam dunia politik dan menjadi AJK UMNO Bahagian Chembong, Negeri Sembilan sebelum mengambil keputusan untuk berehat dan menumpukan kepada keluarganya serta arwah suaminya.

Meskipun tidak menyandang sebarang jawatan rasmi, Datin Mastura merupakan penasihat peneman setia arwah Datuk Wan dalam menggerakkan kerjanya sebagai wakil rakyat di Bukti Chandan dan seterusnya mewakili Parlimen Kuala Kangsar.

Pilihan Raya Kecil ( PRK) parlimen Kuala Kangsar P067 diadakan berikutan nahas helikopter yang melibatkan bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, arwah Datuk Wan Mohd Khair-il Anuar Wan Ahmad di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");