Jenayah

Buruh maut kereta rempuh MPV

KUANTAN – Seorang pemandu maut manakala tiga penumpang cedera selepas kereta dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 1, Jalan Bukit Koman, Raub, pagi semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 7.55 pagi itu, pemandu kereta jenis Proton Wira, Alsidal Sahid, 29, berasal dari Sandakan, Sabah tersepit dalam kenderaannya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala penumpang, Mohd Finny Asri, 23, berasal dari Beaufort, Sabah yang berada di bahagian kerusi penumpang belakang, patah kaki kanan, manakala Gilbert Suma Akong, 27, dari Kudat, Sabah cedera di kepala.

Bagaimanapun seorang lagi penumpang, Ahmad Shukri Ashari, 24 dari Cameron Highlands hanya cedera ringan.

Sementara itu, pemandu MPV jenis Nissan Grand Livina warga Thailand, Mr Afandee Masanit, 39, tidak cedera namun penumpangnya, Halimah Che Harun, 56, yang beralamat di Flat Sri Angkasa, Jalan Pantai Dalam, Kuala Lumpur, mengalami luka di tangan dan muka.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Zahari Wan Busu berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat manakala kesemua mangsa yang cedera dihantar ke unit kecemasan hospital sama untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, pemandu dan penumpang kereta jenis Proton Wira yang bekerja sebagai buruh binaan, dipercayai dalam perjalanan dari arah Bukit Koman untuk ke tempat kerja.

“Ketika tiba di lokasi kejadian berhampiran Simpang ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Bukit Koman, kereta dipandu Alsidal hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Pemandu terbabit dipercayai gagal mengawal keretanya lalu melanggar MPV yang berhenti di tengah jalan dan memberi isyarat untuk masuk ke simpang di kanan jalan,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, akibat perlanggaran itu, MPV dinaiki kakitangan Bahagian Kebajikan Masyarakat Thailand bersama seorang peniaga itu terundur dan mengelongsor ke kiri jalan.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati keadaan jalan agak berselekoh dari arah Bukit Koman, permukaan jalan kering dan cuaca baik.

“Sampel darah kedua-dua pemandu terlibat diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia manakala ujian saringan air kencing ke atas pemandu MPV mendapati dia bebas dari sebarang pengaruh dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 8.07 pagi sebelum lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membantu mangsa terlibat.

“Anggota bomba menggunakan ’crow bar’ untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada polis, manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");