Berita Hari Ini

CCRIS PTPTN: NGO sedia jadi orang tengah

SHAH ALAM – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sedia menjadi orang tengah dalam menyelesaikan isu peminjam yang disenarai PTPTN dalam rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS).

Presidennya, Zambri Mohd Isa berkata, pihaknya mengambil langkah proaktif dengan mengadakan perbincangan dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Difahamkan jumlah bayaran balik meningkat melebihi RM200 juta sebulan sebaik sahaja tindakan untuk menyenarai nama peminjam di CCRIS dilaksanakan.

“GPMS juga memohon PTPTN agar lebih fleksibel dalam kaedah pembayaran dan mengambil kira pelbagai faktor seperti kedudukan ekonomi semasa serta kemampuan kewangan peminjam.

“Kami menyeru agar peminjam bermasalah hadir ke pejabat PTPTN yang terdekat untuk berbincang tentang kaedah penstrukturan semula bayaran balik pinjaman agar ianya mampu memenuhi keadaan semasa peminjam, dalam masa yang sama dapat membayar balik pinjaman bagi memastikan PTPTN dapat terus menyediakan pinjaman kepada pemohon baru.

GPMS juga bersedia untuk menjadi orang tengah atau fasilitator antara pihak peminjam dan PTPTN bagi mengeluarkan mereka dari senarai hitam CCRIS,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tindakan ini dilihat sebagai jalan terakhir PTPTN dalam memastikan peminjam membayar semula pinjaman PTPTN mereka secara teratur.

“Secara dasarnya, GPMS berpendapat tindakan berkenaan adalah wajar dilaksanakan buat masa ini.

“Kami memahami keperluan pihak PTPTN untuk melaksanakan tindakan tegas kepada peminjam memandangkan PTPTN memerlukan dana pusingan untuk pelajar baharu,” katanya.

Menurutnya, ketika ini PTPTN terpaksa mengurangkan jumlah pinjaman kepada pelajar baharu mulai 2014 antara 5 hingga 15 peratus disebabkan masalah ini. GPMS merasakan adalah tidak adil kepada mereka yang terpaksa menanggung pengurangan berkenaan yang berpunca dari sikap mementingkan diri peminjam lain.

“PTPTN sediakan pelbagai insentif dan kemudahan bagi bayaran balik PTPTN kepada peminjam.

“Namun sehingga kini masih terdapat peminjam langsung tidak mempunyai inisiatif bincang dengan PTPTN,”katanya.

Peminjam yang berminat mendapat khidmat nasihat boleh hubungi ibu pejabat GPMS 03-4043 9948 atau maklumbalas melalui www.gpms.my.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");