Berita Hari Ini

Dipercayai kapal SS Amherst

PEKAN – Bangkai kapal yang timbul selepas paras Sungai Pahang cetek dekat Kampung Tanjung, Paloh Hinai dipercayai sebuah kapal kargo penumpang milik Singapura dikenali sebagai SS Amherst

Pengarah Jabatan Warisan Negara Zon Timur, Mohd Shukri Mohd Isa berkata, maklumat berkaitan sejarah kapal itu diketahui berdasarkan inkues dan siasatan insiden sebuah kapal karam di Mahkamah Maritim di Singapura pada 17 Disember 1901.

Menurutnya, pengesahan belum dapat dibuat namun fakta kes berkenaan menjurus kepada bangkai kapal yang timbul di Kampung Tanjung.

“Berdasarkan kajian dan penyelidikan awal mendapati kapal tersebut karam di lokasi berkenaan ketika dalam perjalanan dari Singapuran ke Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1901.

“Kapal ini dibina di Glasgow, Scotland pada 1886 dan dijana menggunakan kuasa wap serta bukan kapal dagang sebaliknya kargo penumpang.

“Ia berhenti di Pekan untuk menurunkan penumpang namun terpaksa berlabuh di Paloh Hinai kerana ribut sebelum karam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat lokasi bangkai kapal tersebut, di sini semalam.

Mohd Shukri berkata, siasatan yang dibuat oleh pihaknya masih di peringkat awal namun percaya hampir 70 peratus penyelidikan sebelum ini hampir sama dengan bangkai kapal itu.

Menurutnya, kajian akan terus dilakukan di lokasi penemuan untuk membuat perbandingan dengan rekod kapal karam pada tahun terbabit.

“Laporan awal kerja konservasi akan dibentang pada peringkat jabatan dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.

“Pihak kami akan melawat tapak bangkai dari semasa ke semasa untuk menyempurnakan penyelidikan berkaitan sejarah dan fakta kapal.

“Perbincangan dengan kerajaan negeri akan dibuat bagi mencari kaedah terbaik memulihara kapal bersejarah ini selain banyak prosedur perlu dilakukan,” katanya.

Bangkai kapal sepanjang hampir 30 meter itu menjadi perhatian orang ramai apabila ia timbul dengan sebahagian komponennya seperti kipas, besi pengikat tali sauh serta kebuk pembakaran enjin wap masih kekal seperti bentuk asal.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");