Membawang Hari Ini

Fazura tekad ‘pukul habis’

Setiap pelakon ada sasaran dalam kerjaya. Tidak ketinggalan aktres jelita, Nur Fazura Sharifuddin yang menongkah arus untuk menggapai setiap impiannya.

Langkah pertama melalui filem Bicara Hati arahan Datin Rosnani Jamil lebih sedekad lalu membuahkan hasil apabila membawa pulang Anugerah Pelakon Harapan Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-17 (FFM17). Tahun lalu di FFM27, dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik melalui filem Manisnya Cinta di Cappadoccia.

Selama 12 tahun bertapak dalam industri hiburan tempatan, Fazura kini gembira apabila industri hiburan di Indonesia turut menerima baik kehadirannya.

Katanya, dia kini mahu merebut semua peluang yang ada kerana sudah meniti tahun-tahun terakhir dalam industri seni.

“Tahun ini saya ‘pukul habis’ semua peluang yang ada. Selepas ini saya nak relaks dan fokus pada bisnes dan keluarga pula.

“Disebabkan sasaran itu, saya mahu berikan sepenuh komitmen pada kerjaya seni. Biarlah saya bina nama atas titik peluh sendiri dan lebih berpuas hati pada masa depan.” katanya.

Tanpa memberi kata putus atau ‘tarikh tamat tempoh’ berada dalam industri, Fazura menjelaskan hal itu antara rahsia Allah yang tidak patut dipertikaikan selain soal jodoh dan ajal.

Apatah lagi rezekinya dalam bidang nyanyian juga membuahkan hasil apabila lagu terbaru, Hancur Aku berkolaborasi dengan kumpulan Estranged mendapat tempat di hati peminat. Tanpa berselindung, dia akui terjun ke bidang nyanyian kerana merealisasikan impiannya sejak kecil untuk bergelar penyanyi.

“Syukur sebab maklum balas saya terima sangat positif, jauh berbeza dengan lagu Sayangi Dirimu yang pada waktu itu hanya projek percubaan.

“Jika tiada aral, saya akan muncul dengan single baru dan secara langsung mahu melengkapkan album penuh pada masa depan.

“Ini termasuk projek meluaskan kerjaya ke beberapa negara Asia lain selepas Indonesia. Terbaru, ke Filipina pula tidak lama lagi,” katanya.

Mengemudi program realiti saluran E! Asia, Facing Up To Fazura untuk dua musim, Fazura percaya projek yang bakal dilakukan di negara yang terkenal sebagai bumi pengeluar bakat muzik terbesar dunia itu adalah antara pencapaian peribadi terbesar.

Biarpun ada khabar angin mendakwa Fazura bakal menandatangani kontrak sebagai artis sebuah syarikat rakaman antarabangsa yang beribu pejabat di sana, dia mengambil langkah untuk ‘zip mulut’.

Katanya, pemergiannya ke Filipina kerana projek yang boleh disifatkan sebagai 360 darjah, termasuk pembabitan dalam penggambaran filem, jurucakap produk dan besar kemungkinan album.

“Pada masa ini, saya masih dalam proses pemilihan material untuk dimuatkan dalam album sulung. Sudah ada beberapa lagu baru yang siap, cuma belum memilih yang mana terbaik.

“Tambah pula saat ini saya sedang siapkan penggambaran filem aksi pertama saya, JRevolusi. Filem itu boleh dianggap antara filem yang sudah lama saya nantikan.

“Ketika ditawarkan, penerbit tanya mahukah saya berlakon dalam filem aksi kepolisan dan saya terus kata, ya!” katanya memegang watak Dian, ejen penyiasat.

Dia akui ada tanggapan mengatakan dirinya hanya layak untuk watak wanita urban seperti Intan dalam filem Pisau Cukur, Putri Farah dalam Gol & Gincu atau Liyana melalui Manisnya Cinta di Cappadoccia.

Ketika cuba memberi kelainan watak seperti Khadeja dalam filem Langit Cinta arahan Osman Ali, ada yang mengkritik dia tidak cukup ‘kampung’. Padahal sebagai pelakon, dia perlu mempelbagaikan watak supaya kerjaya lakonannya lebih berwarna-warni.

Antara dinantikan pastinya watak aksi dan dia percaya filem JRevolusi arahan Zulkarnain Azhar, terbitan Grand Brilliance dan Infinitus Production mampu merealisasikan watak diidamkan.

Dalam filem itu, dia perlu menonjolkan bakat bertarung, terutama seni pertahanan diri dan seni pertarungan campuran (mix-martial art).

“Setakat ini, risiko untuk cedera itu tetap ada dan semua koreografi bertarung saya buat sendiri. Saya tidak ke kelas seni pertahanan diri sebab masa tidak mengizinkan tapi bersyukur sebab saya jenis cepat belajar.

“Tekanan tetap ada, tapi saya ambil saja nilai positif. Pada masa ini, saya lebih rasa teruja, jadi kena kerja lebih keras lagi,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");