Membawang Hari Ini

Golf rapatkan keluarga

Sukan golf dianggap khusus untuk orang kaya dan berusia, tapi bagi pelakon Johan Arif As’ari, dia melihat ia sebagai cara untuk menenangkan diri sambil meluangkan masa bersama keluarga tercinta.

Pemergian ibu tercinta, Allahyarham Datin Firdaus Abdul Kader pada Mei tahun lalu membuatkan kehidupan mereka sekeluarga sunyi tetapi ia bukan alasan untuk meneruskan kehidupan dan menikmati kegembiraan.

Segmen Relaks Selebriti kali ini berpeluang melihat Johan bersama bapa, Datuk As’ari Ibrahim dan kakak, Farah Alya juga pelakon, menghabiskan masa hampir seharian bermain golf di Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS), Shah Alam, baru-baru ini.

Seawal jam 8 pagi, Johan dan keluarganya mula berkumpul di kelab itu dan tepat jam 8.30 pagi mereka memulakan pukulan ‘tee-off’ atau pukulan pertama.

Boleh dikatakan hari Sabtu itu dianggap hari bertuah buat Johan kerana mereka dapat bersama-sama bermain golf selepas sekian lama.

“Selalunya bapa akan bermain berseorangan di beberapa kelab golf sekitar Lembah Klang. Saya pula sibuk di lokasi penggambaran, manakala kakak juga sibuk dengan urusan kerja.

“Kali terakhir kami bermain bersama sebegini tahun lalu, beberapa bulan selepas pemergian ibu sebelum saya berangkat ke India untuk sambung belajar.

“Dulu kami bermain sekurang-kurangnya sebulan sekali di padang golf terpilih. Mula jam 8.30 pagi hinggalah petang sehingga jam 2,” katanya.

Pelakon yang popular dengan jolokan Botak melalui drama bersiri dan filem aksi remaja, Juvana akui golf adalah permainan wajib keluarga mereka setiap kali ada masa terluang.

Malah dia sendiri mula bermain golf pada usia muda, yakni pada zaman sekolah rendah lagi. Selain dia dan kakak, dua adiknya turut serta bermain golf andai ada masa terluang.

Johan menolak dakwaan sukan itu hanya untuk golongan kaya dan berusia. Dia menyifatkan golf patut menjadi sukan santai keluarga untuk semua golongan, sama seperti sukan lain.

Selain bersama keluarga, Johan akui turut bermain bersama rakan artis lain apabila ada masa terluang. Katanya, Beto Kusyairy antara yang pernah main golf dengannya.

Johan juga ada alasan sendiri mengapa memilih sukan itu berbanding sukan lain yang jauh lebih ekstrem dan sesuai untuk anak muda sepertinya.

Katanya, apabila bermain golf, dia rasa sangat tenang sebab dapat melihat kehijauan di sekeliling padang.

“Ia juga membantu meningkatkan fokus saya kerana permainan ini perlukan daya fokus yang tinggi. Untuk mantapkan skil, saya juga menyertai beberapa pertandingan golf amatur yang dianjurkan kelab golf tempatan.

“Tapi saya tidaklah bermain untuk menjadi pemain profesional. Main pun sekadar suka-suka sahaja,” katanya.

Selain bermain golf sebagai aktiviti masa lapang, Johan juga antara artis tempatan yang berkebolehan bermain alat muzik dengan baik, antaranya piano.

Malah, dia juga sering memuat naik video menyanyikan lagu kegemarannya sambil bermain piano di laman sosial Instagram miliknya.

Johan juga baru sahaja menjalani penggambaran drama bersiri 30 episod untuk saluran Hypp TV, Cinta Tangkap Muat. Dia juga bakal beraksi di slot Dahlia TV3, Mr. Tanda Soal pada Ramadan ini.

Sementara filem lakonannya yang masih menantikan tayangan ialah Juvana 3, Tujuh, Kanang Anak Langkau dan Bopeng.

Kata Johan, jika tiada aral dia akan mula masuk set penggambaran telefilem Aku Bukan Rasul arahan Zul Huzaimy untuk RTM dan Transit Terakhir di bawah arahan Ellie Suriaty untuk TV3.

“Syukur kerana tawaran berlakon masih banyak,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");