Sukan Hari Ini

Harap litar kering

Kuala Lumpur: Permukaan kering Litar Sepang menjadi harapan Zulfahmi Khairuddin (gambar) dalam misinya meraih kedudukan podium pertamanya di tempat sendiri.

Pelumba berusia 25 tahun yang berlumba bersama Orelac Racing Verdnatura musim ini, masih belum meraih sebarang podium selepas mengharungi lima Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) setakat ini.

“Saya memang mengharapkan (podium) secepat mungkin, kalau boleh minggu ini. Pada sesetengah perlumbaan tahun ini, saya sudah tidak terlalu jauh dengan podium.

“Cuma saya perlu lebih matang dalam mengawal situasi perlumbaan. Saya fikir ketika ujian masa, saya sudah melakukannya dengan agak bagus,” katanya pada majlis bersama pelajar Giat MARA semalam.

Keyakinan Zulfahmi bertambah apabila menjelaskan jenteranya, Kawasaki ZX-6R berada dalam keadaan baik dan semakin serasi terutama selepas perlumbaan pusingan kelima di Itali minggu lalu.

Ditanya mengenai cuaca tidak menentu, bekas pelumba Moto3 itu berharap cuaca akan memihak kepadanya menjelang sesi latihan bermula hari ini.

“Hujung minggu ini saya berharap tiada hujan. Saya sedikit kurang yakin jika ia berlaku namun tetap akan memberikan yang terbaik. Bagaimanapun saya percaya kepada pasukan untuk menyiapkan jentera agar berada dalam keadaan terbaik,” tambahnya.

“Saya percaya pada sesi latihan esok (hari ini), pelumba akan bergelut kerana permukaan trek yang baru menyebabkan tayar kurang mencengkam selain perlu membiasakan diri dengan permukaan tidak rata semakin berkurangan,” tambahnya.

Sebagai pelumba tunggal negara dalam WSBK, Zulfahmi sedar dia perlu meraih keputusan yang baik di Litar Sepang hujung minggu nanti.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");