Sukan Hari Ini

Harimau Selatan: Kami sudah bersedia

PENGALAMAN pertama kali melangkah ke pentas akhir membuatkan dua bintang baharu Johor Darul Ta’zim (JDT) begitu teruja untuk menggalas tanggungjawab sukar berkenaan menjelang pertemuan dengan PKNS FC di Stadium Shah Alam, malam ini.

Bagi penyerang harapan JDT, Mohd Azniee Taib, beraksi di perlawanan adalah menjadi satu tugasan sukar tetapi begitu bermakna dalam kariernya sejak mula bersama Harimau Selatan awal musim lalu.

“Ini merupakan kali pertama saya ke final, memang tidak dinafikan saya begitu gembira dan bersemangat untuk membantu pasukan membawa pulang piala tersebut ke bumi Johor.

“Sudah semestinya jika diberi peluang saya akan berjuang bermati-matian serta cuba memanfaatkan segala peluang yang ada untuk mencari jaringan. Tetapi perlu diingatkan lawan juga mempunyai kelebihan kalau tidak mereka tidak akan bersama kami di final,” katanya.

Pemain berusia 25 tahun itu, turut mengakui berasa gementar untuk beraksi pada perlawanan tersebut serta perlu melakukan pelbagai persediaan jika ingin mempamerkan prestasi terbaik bersama pasukan.

“Saya akui memang agak gugup sedikit memandangkan kurang berpengalaman berbanding rakan-rakan yang lain. Oleh itu, saya perlu kerja lebih keras, mengikut segala tunjuk ajar jurulatih dan selebihnya menimba ilmu dari rakan-rakan,” katanya.

Beliau turut berpesan kepada rakan sepasukan untuk sentiasa berwaspada dengan kelab yang diberi jolokan Semut Merah dan tidak terlalu yakin pada perlawanan tersebut.

“Sebelum ini saya bermain di Liga Perdana bersama Pulau Pinang. Memang PKNS merupakan lawan yang kuat, mereka mempunyai barisan pertahanan yang mantap dan pemain yang bagus.

“Pasukan macam ini lah yang lebih kita bimbang sebenarnya, sebab kami masih belum boleh mengagak corak permainan yang mereka gunakan. Selain itu, perlu diingatkan mereka mampu mengalahkan beberapa pasukan kuat sebelum ini dan berada di final,” katanya.

Sementara itu, awang import JDT, Juan Martin Lucero pula mengakui, beliau tidak sabar untuk menunggu peluang bermain di perlawanan tersebut.

“JDT sebuah kelab yang bagus, mereka mempunyai banyak pemain tempatan yang berkualiti, ia menjadi satu penghargaan kepada saya jika dapat bersama-sama menjulang piala tersebut.

“Oleh itu, saya perlu bekerja keras untuk perlawanan penting ini malah memberikan sepenuh komitmen lebih-lebih lagi kami mempunyai peluang cerah untuk menjadi juara,” katanya yang turut menyangkal spekulasi bahawa beliau mengalami kecederaan dan tidak boleh beraksi pada perlawanan berkenaan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");