Jenayah

Ibu terima khabar duka di hari jadi

JOHOR BAHRU – Majlis sambutan hari lahir ke-47 seorang suri rumah bertukar duka apabila mendapat perkhabaran anak keduanya maut dalam kemalangan.

Menceritakan kejadian 7 April lalu, Salmah Aman berkata, dia bersama suami, Norazman Andong, 48, serta anak ketiganya, Ainazuha, 18, menunggu kepulangan Norazliamir, 22, dari tempat kerjanya di sebuah restoran yang dijanjikan.

“Bagaimanapun, anak saya yang bekerja sebagai kontraktor tapak di Skudai masih tidak tiba dan saya berusaha beberapa kali menghubunginya, tapi gagal.

“Tiba-tiba kawan anak hubungi saya dan memaklumkan arwah terlibat kemalangan dengan lori.

“Ketika itu, saya belum mengetahui tentang keadaan arwah tetapi, saya mulai rasa tak sedap hati. Saya tinggalkan semua makanan yang sudah sampai dan bergegas ke tempat kejadian,” katanya.

Salmah mengimbas kejadian itu ketika penyampaian faedah pengurusan jenazah oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada keluarga itu berjumlah RM1,500 di Taman Rinting, yang disempurnakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abd Samad.

Sementara itu, abang Norazliamir, Norazlanazam, 25, tidak menyangka kemalangan disaksikan ketika melalui kawasan kejadian di jambatan di Plentong, melibatkan darah dagingnya sendiri.

“Saya mahu ke tempat kerja di Tampoi dan ketika itu aliran jalan raya sangat sesak di lebuh raya Pasir Gudang, namun saya tidak sangka adik saya adalah mangsanya.

“Saya hanya mengetahui sebaik tiba di tempat kerja, apabila kawan beritahu,” katanya.

Penolong Pengarah Kanan Faedah Perkeso Johor Bahru Salmah Sabran berkata, keluarga itu menerima faedah orang tanggungan (FOT) dianggarkan RM950 sebulan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");