Berita Hari Ini

Imbangan pembayaran catat lebihan RM5b suku pertama

KUALA LUMPUR: Imbangan pembayaran akaun semasa Malaysia mencatatkan lebihan sebanyak RM5.0 bilion pada suku pertama 2016, menurut Jabatan Perangkaan hari ini.

Dalam satu kenyataan, jabatan itu menyatakan akaun kewangan merekodkan aliran masuk bersih RM5.8 bilion dan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia turun kepada RM27.6 bilion.

Imbangan akuan semasa susut sebanyak RM5.5 bilion daripada suku sebelumnya terutamanya disebabkan oleh lebihan lebih rendah pada akaun barangan sebanyak RM23.5 bilion (suku keempat 2015: RM31.1 bilion) dan defisit yang lebih tinggi pada akaun perkhidmatan pada RM6.8 bilion.

Tambahan pula, aliran keluar bersih pendapatan primer mengecil kepada RM6.7 bilion manakala akaun pendapatan sekunder mencatatkan defisit lebih rendah pada RM4.9 bilion.

Menurut jabatan itu, pada suku pertama 2016, akaun modal mencatatkan defisit lebih rendah sebanyak RM9.0 juta berbanding RM15.0 juta pada suku sebelumnya disebabkan oleh bayaran yang lebih rendah pada akaun modal sebanyak RM6.0 juta.

“Tahun ke tahun, defisit akaun modal menambah sebanyak RM9.0 juta daripada RM1.0 juta pada tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.

Akaun kewangan merekodkan aliran masuk bersih lebih tinggi sebanyak RM5.8 bilion daripada RM3.9 bilion, katanya dan menambah semua komponen mencatatkan aliran masuk bersih kecuali pelaburan lain merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM11.5 bilion.

Pelaburan langsung di luar negeri (DIA) mencatatkan aliran keluar bersih lebih tinggi sebanyak RM11.3 bilion (suku keempat 2015: aliran keluar bersih RM6.4 bilion) manakala Pelaburan Langsung Asing (FDI) di Malaysia mencatatkan aliran masuk bersih lebih tinggi sebanyak RM15.0 bilion (suku keempat 2015: aliran masuk bersih RM12.2 bilion).

“Tahun ke tahun, akaun kewangan mencatatkan perubahan kepada aliran masuk bersih daripada aliran keluar bersih sebanyak RM29.8 bilion pada suku pertama 2015, disebabkan terutamanya oleh perubahan arah pada pelaburan portfolio kepada aliran masuk bersih RM13.1 bilion (suku pertama 2015: aliran keluar bersih RM7.9 bilion),” kata jabatan itu.

DIA mencatatkan aliran keluar bersih lebih rendah sebanyak 0.1 peratus manakala FDI merekodkan aliran masuk lebih tinggi sebanyak 52.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");