Sukan Hari Ini

Import Sabah ‘tak boleh tidur’

Kota Kinabalu: Selepas gagal layak ke Piala Malaysia, Sabah mengambil peluang untuk memburu pemain lebih baik apabila saingan Liga Perdana berehat panjang.

Peluang itu diambil selepas beberapa pemain luar termasuk pemain import hadir pada sesi pemilihan di Stadium Likas, malam kelmarin.

Perkara itu juga bakal membuatkan pemain sedia ada ‘tidak lena tidur’, terutama pemain import apabila tiga pemain luar negara dilihat berjuang merebut tempat pada sesi pemilihan berkenaan.

Pengurus Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, beberapa pemain luar termasuk pemain import akan datang ke Kota Kinabalu bagi mencuba nasib bagi diserapkan dalam skuad Vjeran Simunic itu.

“Kita mengambil peluang cuti rehat panjang ini untuk mencari pemain yang lebih baik, kita tidak pasti berapa orang yang akan diganti namun jika ada pemain lebih baik, kita akan serapkan dia dan gantikan pemain yang kurang memuaskan.

“Selain itu, lebih lima pemain luar negara juga akan datang ke Kota Kinabalu untuk menjalani ujian pemilihan termasuk pemain yang sudah kami kenal pasti profil mereka,” katanya.

Katanya, pihaknya akan mengambil peluang melakukan penggantian pemain apabila jendela perpindahan pemain dibuka bermula 20 Jun hingga 15 Julai.

Dalam pada itu, Nizam berkata, selain membuat ujian pemilihan pemain, pihaknya juga merancang mengadakan beberapa perlawanan persahabatan sebagai persiapan untuk menghadapi baki saingan liga yang hanya akan bersambung pada 15 Julai.

“Kita sudah mengenalpasti beberapa pasukan sama ada pasukan tempatan serta di luar Sabah.

“Pasukan Sabah akan memanfaatkan sebaiknya cuti rehat panjang ini untuk memperbaiki setiap kelemahan yang ada,” katanya.

Dalam perkembangan lain, tiga pemain import yang hadir pada sesi ujian pemilihan di Stadium Likas, di sini, malam kelmarin ialah pemain tengah dari Brazil Everton Souza Santos, 32, dan dua penyerang iaitu Joel Omari Tshibamba, 28, dari Belanda serta Milan Culum, 32, dari Serbia.

Empat pemain import yang kini beraksi untuk Sabah ialah Igor Cerina, Marco Tulio Lopes Silva, Dedi Kusnandar dan Prince Nnake Tochukwu.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");