Berita Hari Ini

Inisiatif elak pelabur kena tipu

KUANTAN – Kurang ilmu dan kefahaman sebenar tentang konsep pelaburan antara punca orang ramai terlibat dan menjadi mangsa pelaburan haram atau skim cepat kaya.

Disebabkan faktor itu juga, pelabur dalam pelaburan sah turut berdepan kemungkinan kerugian selain cepat serik untuk meneruskannya.

Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (Pribumi), Md Hasrin Md Hassim berkata, atas kesedaran itu, pihaknya mengambil pelbagai inisiatif mendidik masyarakat dan bakal pelabur bumiputera terhadap kepentingan kefahaman atau ilmu sesuatu pelaburan sebelum mengambil keputusan untuk melabur.

Menurutnya, ramai individu menyedari kepentingan pelaburan namun kadang kala pelabur mengalami kerugian besar kerana tiada disiplin dan terlalu ghairah untuk cepat kaya sehingga terjebak dalam pelbagai skim pelaburan haram.

“Justeru Pribumi mengaturkan pelbagai program berbentuk seminar dan sebagainya untuk mendidik masyarakat termasuk pelancaran Hari Pelaburan Pantai Timur yang julung kali diadakan hari ini (semalam),” katanya.

Beliau berkata demikan kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Hari Pelaburan Pantai Timur dan Pelancaran Buku ‘ Panduan Lengkap Pelaburan Saham’ di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan Yang Dipertua Dun Pahang, Datuk Seri Ishak Muhamad.

Md Hasrin berkata, Pribumi ditubuhkan sejak 1995 dengan keahlian kini seramai 600 orang kalangan remiser dan wakil perniaga saham berlesen Bumiputera.

Menurutnya, Hari Pelaburan Pantai Timur mendapat sambutan mengalakkan apabila lebih 100 peserta dari kalangan pelanggan remiser sedia ada dan orang ramai hadir.

“Kita bangga apabila sebahagian besar yang hadir cukup berminat untuk mengetahui dan mendalami konsep pelaburan daripada remisier berpangalaman melalui sesi penerangan diadakan.

“Mereka meluangkan masa dan mengambil kesempatan untuk mendapatkan penerangan dengan lebih jelas terhadap pelaburan saham,” katanya.

Beliau berkata, melihat kepada sambutan, Hari Pelaburan seumpama itu akan diperluaskan lagi pada masa akan datang untuk zon utara dan selatan selain cuba menarik seramai mungkin untuk menyertainya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");