Berita Hari Ini

Institusi Islam perlu beri penerangan tentang RUU

KUALA LUMPUR – Semua institusi Islam berkaitan disaran memberi penerangan secara bersepadu dan berterusan mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian berhubung RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 kepada golongan sasar.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad berkata kempen seumpama itu boleh dilakukan institusi seperti Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), menggunakan bahasa mudah bagi membolehkan orang ramai memahami RUU itu.

“Gambarkan kepada mereka Islam adalah universal, tidak mendiskriminasi mana-mana kaum atau penganut mana-mana agama… Misalnya pembabitan bukan Islam dalam industri halal tidak pernah pun menafikan hak bukan Islam untuk terlibat sama.

“Begitu juga dalam perbankan Islam, malah dalam memberikan peluang kepada pelajar bukan Islam menuntut di institusi pengajian Islam seperti UIA. Inilah antara bukti betapa universalnya Islam di samping menghormati lain-lain agama dan fahaman,” katanya dalam kenyataan.

Pada 26 Mei lepas, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentang RUU persendirian bagi meminda Seksyen 2 akta tersebut untuk menyebut Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Abdul Hadi berkata ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A yang menyebut dalam melaksanakan undang-undang jenayah di bawah seksyen tersebut, Mahkamah Syariah mempunyai hak untuk menjatuhkan hukuman berkaitan kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen berkenaan selain hukuman mati. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");