Berita Hari Ini

Jambatan ketiga: Guan Eng tulis surat kepada Najib

GEORGETOWN – Ketua Menteri, Lim Guan Eng menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi memohon kelulusan untuk membina Jambatan Ketiga Pulau Pinang bebas tol.

Menerusi surat berkenaan, Guan Eng memaklumkan kerajaan negeri merancang untuk membina link ketiga di Pulau Pinang iaitu sebuah terowong dasar laut yang akan dibiayai sendiri oleh kerajaan negeri dengan kos RM3.7 bilion.

Menurutnya, bagaimanapun, kos pembinaan, pengurusan dan penyelenggaraan terowong yang akan menghubungkan Persiaran Gurney dengan Bagan Ajam, Seberang Perai Utara (SPU) itu dilihat tinggi dan perlu disertakan dengan konsesi kutipan tol selama 30 tahun.

Guan Eng berkata, sehubungan dengan itu, kerajaan negeri berhasrat untuk memohon kelulusan Najib bagi pembinaan Projek Jambatan Ketiga Pulau Pinang yang turut akan menghubungkan Persiaran Gurney dengan Bagan Ajam, SPU.

“Kos pembinaan Jambatan Ketiga Pulau Pinang ini dianggarkan berjumlah kurang daripada RM2 bilion dan akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri. Tiada peruntukan kerajaan Persekutuan dipohon. Oleh itu, dengan kelulusan daripada kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dapat menjimatkan kos hampir RM2 bilion dan penjimatan ini membolehkan kerajaan negeri menampung kos pembinaan jambatan sekali gus membenarkan kenderaan menggunakan jambatan ketiga itu secara percuma tanpa sebarang caj tol.

“Perlu ditegaskan bahawa projek terowong dasar laut ini diilhamkan demi membawa pembangunan seimbang kepada SPU. Ini kerana, daerah Seberang Perai Tengah (SPT) sudah dilengkapkan dengan Jambatan Pertama Pulau Pinang sejak 1984 manakala daerah Seberang Perai Selatan (SPS) memiliki Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

“Hanya daerah SPU yang tertinggal dan ‘terpinggir’ daripada penghubungan infrastruktur yang dinikmati oleh kawasan lain. Oleh sebab itu, kerajaan negeri berhasrat untuk membina terowong dasar laut di antara Persiaran Gurney ke Bagan Ajam demi menghubungkan daerah SPU dengan kawasan pulau,” katanya melalui surat berkenaan.

Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang menyatakan kerelaannya untuk membatalkan pembinaan terowong dasar laut sekiranya kerajaan Pusat meluluskan pembinaan jambatan ketiga di negeri ini.

Guan Eng berkata, pembinaan terowong dasar laut untuk menghubungkan di antara bahagian pulau dan seberang itu dibuat selepas kerajaan Pusat tidak memberi layanan yang sepatutnya kepada permohonan kerajaan negeri.

Menurutnya, semua permohonan membina jambatan perlu mendapatkan kelulusan kerajaan Pusat namun sehingga kini, kerajaan Pusat tidak pernah membalas surat permohonan kerajaan negeri.

Dalam surat berkenaan juga, Guan Eng turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof kerana berminat untuk mempertimbangkan permohonan itu.

“Sehingga sekarang, kerja-kerja untuk projek terowong bawah dasar laut belum bermula kerana ia hanya dijangka siap di antara tahun 2025 hingga 2027 apabila jalan-jalan penghubung di kawasan bandaraya Georgetown siap. Sehingga kini, kerajaan negeri tidak membuat sebarang bayaran dalam bentuk wang atau seinci tanah pun untuk projek terowong bawah dasar laut ini. Kita berterima kasih kepada Menteri Kerja Raya yang menyatakan kesudian kerajaan Persekutuan untuk menimbang permohonan.

“Sekiranya kelulusan diberikan, kerajaan negeri berkemungkinan besar mampu membina jambatan ketiga ini tanpa mengenakan tol kepada pengguna. Perlu ditekankan juga jambatan ketiga ini adalah gantian kepada projek terowong bawah dasar laut. Sebaik sahaja kelulusan secara prinsip diberikan, kerajaan negeri boleh menjalankan kajian pelaksanaan dan kajian lain yang perlu untuk suatu projek yang memanfaatkan rakyat,” katanya.

Surat itu turut diberi salinan kepada Fadillah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus dan Exco Kerja Raya Kerajaan Pulau Pinang, Lim Hock Seng.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");