Isu Panas

Kabinet negeri urusan Sarawak bukan Putrajaya

SHAH ALAM – Penganalisis politik mengingatkan bahawa kuasa melantik barisan menteri kabinet di Sarawak terletak di tangan Ketua Menterinya, Tan Sri Adenan Satem dan Putrajaya tidak sepatutnya campur tangan.

Pensyarah dari Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, apa yang berlaku hari ini dibimbangi akan mengeruhkan hubungan antara dua kuasa pentadbir itu.

“Kita perlu ingat juga kuasa autonomi Sarawak. Pelantikan itu kuasa Sarawak bukan Putrajaya.

“Kita tidak mahu seperti kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ini nanti mengeruhkan hubungan Sarawak dengan Putrajaya yang akan menyebabkan ketidakpuasan hati rakyat Sarawak sedangkan Putrajaya perlu fokus isu besar, isu nasional ataupun dua pilihan raya kecil yang akan berlangsung ini,” katanya kepada Sinar Online.

Adenan mengumumkan barisan Kabinet baharunya termasuk tiga timbalannya tetapi terdapat laporan menyebut ketua menteri itu tidak memenuhi janji sebelum pilihan raya untuk meletakkan wakil Cina sebagai timbalan ketua menteri.

Namun menurut laporan Sarawak Voice, posisi itu dibayangkan oleh Ahmad Zahid kepada Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian untuk dibisikkan kepada Adenan apabila membentuk kerajaan bukan dijanjikan Adenan.

Hari ini memetik laporan Malay Mail Online, Ahmad Zahid berkata terdapat usaha bagi meminda Perlembagaan Sarawak supaya membolehkan lebih daripada tiga timbalan ketua menteri dilantik.

Sementara itu, menurut Dr Awang, satu jawatan menteri penuh dan dua jawatan menteri muda dari kaum Cina dalam Kabinet Sarawak hari ini sudah memadai berikutan SUPP tidak menang besar dalam pilihan raya lalu.

Dr Awang turut menyifatkan pelantikan Kui Hian yang menjadi wakil rakyat pertama kali itu dan terus diangkat sebagai Menteri Kerajaan Tempatan sesuatu yang luar biasa kerana tidak berlaku seperti kelazimannya.

“Beliau baru menang, sudah dilantik jadi menteri penuh. Dalam tradisi Sarawak itu, lazimnya, wakil rakyat itu diminta jadi wakil rakyat sekurang-kurangnya satu penggal, baharu dilantik menjadi menteri muda (timbalan menteri) kemudian baru menteri penuh.

“Kalau kita lihat di sini, ia tidak diukur berdasarkan prestasi sebenarnya. Hanya bersifat lantikan politik yang sebenarnya tidak bagus untuk pentadbiran,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, ?Pengerusi Pemuda BN Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ?kabinet baharu juga menyaksikan Adenan berpegang kepada janjinya kepada masyarat Cina yang majoritinya telah kembali menyokong BN.

Kata Menteri Kerja Raya itu, ?pelantikan Kui Hian sebagai Menteri? Kerajaan Tempatan selain mengekalkan Datuk Dr Seri Wong Soon Koh sebagai Menteri Kewangan Kedua.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");