Membawang Hari Ini

Kejutan kemenangan Mia Ahmad

Baru penganjuran sulungnya, Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) yang berlangsung Sabtu lalu berjaya meninggalkan impak tersendiri. Baik daripada konsep acara itu sendiri mahupun kemenangan barisan artis tercalon.

Mungkin jenama itu sendiri belum sekuat acara pengiktirafan lain namun senarai pemenang itu pula menjadi perdebatan.

Itulah antara yang mewarnai acara anjuran Star Media Group Berhad di bawah dua entiti berbahasa Melayunya, portal mStar Online dan stesen radio Suria FM.

Contohnya, kemenangan pelakon jelita Mia Ahmad begitu mengejutkan ramai apabila mengetepikan nama dominan termasuk Mira Filzah dan Ayda Jebat. Pelakon Hati Perempuan itu memenangi dua trofi menerusi Aktres Terbaik Pilihan Online dan Wanita Anggun Pilihan Dnars.

Dinilai berdasarkan kekuatan sistem sokongan di media sosial, nampaknya, kelab peminat setiap calon bertanding masing-masing melakukan gerak gempur. Ternyata, kelab peminat Mia antara yang cukup agresif sehingga pelakon itu meraih kejayaan.

Tidak ketinggalan, APO2016 juga pastinya manis buat penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 9 (AF9), Hazama apabila memenangi trofi pertamanya sepanjang karier.

Menurut penyanyi lagu Malaikat itu, dia sendiri tidak menyangka kemenangan itu lantaran sudah biasa pulang dengan t­angan kosong.

“Inilah trofi pertama saya untuk kategori Penyanyi Lelaki Terhebat Pilihan Online sejak masuk industri beberapa tahun lalu. Memang tidak sangka apa lagi nama yang tercalon pun bukan calang-calang.

“Sejujurnya, saya tidak meletakkan apa-apa harapan kerana memang sudah terbiasa tewas pada calon lain. Perkara itu menjadikan saya sudah lali untuk tidak memikirkan sangat pasal kemena­ngan. Tapi akhirnya pada APO2016, saya berjaya dan semua ini adalah kemenangan buat penyokong,” katanya.

Turut unggul adalah pelakon tampan, Saharul Ridzwan yang nampaknya menambah koleksi kemenangan menerusi kategori Aktor Terbaik Pilihan Online dan Lelaki Tampan Pilihan Dnars.

Berjaya mencipta kejutan, pelawak Jihan Muse pula mengetepikan nama dominan untuk kategori Selebriti Komedi Pilihan Online termasuk Zizan Razak, Johan Raja Lawak, Abam, dan Jepp.

Sementara, Akim & The Majistret yang memenangi Personaliti Terunggul APO2016 menjadi pilihan yang cukup tepat. Berdasarkan rekod kejayaan demi kejayaan yang dicipta band itu setakat ini, pencapaiannya memang sangat membanggakan.

Di pentas persembahan pula, pendatang baru, Syamel pula berjaya mengagumkan penonton baik di auditorium mahupun rumah dengan vokal hebatnya. Persembahannya menjadi sebutan dan pujian tidak henti diberikan kepadanya di media sosial.

Begitu juga Dayang Nurfaizah yang diberi penghormatan melunaskan sesi ‘tribute’ kepada komposer terkenal Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan. Menyanyikan lagu ciptaannya secara medley, persembahan Dayang memang tidak pernah mengecewakan peminat.

SENARAI PEMENANG APO2016:

Aktor Terbaik Pilihan Online: Saharul Ridzwan

Aktres Terbaik Pilihan Online: Mia Ahmad

Penyanyi Lelaki Terhebat Pilihan Online: Hazama

Penyanyi Wanita Terhebat Pilihan Online: Datuk Siti Nurhaliza

Lelaki Tampan Pilihan Dnars: Saharul Ridzwan

Wanita Anggun Pilihan Dnars: Mia Ahmad

Selebriti Komedi Pilihan Online: Jihan Muse

Grup Pilihan Online: Akim & The Majistret

Penyampai Radio Pilihan Online: Fara Fauzana

Bintang Sukan Lelaki Pilihan Online: Datuk Lee Chong Wei

Bintang Sukan Wanita Pilihan Online: Datuk Nicol David

Pasukan Sukan Pilihan Online: JDT (Bola sepak)

Ikon Fesyen Pilihan Online: Datuk Siti Nurhaliza

Ikon Niaga Muda Pilihan Online: Neelofa (Naelofar Hijab)

Blog Pilihan Online: Siakap Keli

Chef Selebriti Pilihan Online: Datuk Chef Fazley Yaakob

Selebriti Media Sosial Pilihan Online: Mat Luthfi

Personaliti Terunggul APO2016: Akim & The Majistret

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 10:04 AM

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");