Membawang Hari Ini

Kemunculan OAG reunion tampil barisan asal

FENOMENA lagu 60’s TV pada awal 1990-an berjaya menaikkan nama OAG sebagai salah satu band paling berpengaruh ketika itu.

Genre 60’s crunchy pop fuzz yang dibawa kumpulan dianggotai Radhi (vokalis), Qi (dram), Ivan (gitar) dan Lam (bass) itu mengangkat muzik indie ke persada mainstream.

Kemuncak kegemilangan empat anak muda itu ialah apabila mencipta rekod penjualan album Inggeris tempatan paling laku dalam sejarah industri muzik iaitu sebanyak 75,000 unit.

Ivan, Lam dan Qi bagaimanapun mengundur diri dari OAG tidak lama selepas itu atas alasan masing-masing. Hanya tinggal Radhi meneruskan platform OAG dengan ahli-ahli lain yang saling bersilih ganti.

Kini, selepas 24 tahun OAG bakal mengubati kerinduan peminat dengan kemunculan semula barisan ahli-ahlinya yang asal.

Menurut Radhi, reunion bersama Qi, Ivan dan Lam sudah lama dirancang namun, hanya berjaya direalisasikan ketika Ivan yang berada di luar negara pulang seketika ke tanah air pada sambutan Tahun Baru Cina lalu.

“Ketika itu, kami berempat berkumpul semula selepas 23 tahun dan berjaya ‘jamming’ sekali.

“Sudah tentu ini permulaan yang baik untuk batch pertama OAG membuat reunion memandangkan bukan mudah untuk kumpulkan semua ahli,” katanya ketika ditemui media selepas pelancaran buku perjalanan karier OAG terbitan sebuah syarikat tempatan, baru-baru ini.

Katanya, meskipun sudah lama tidak bersama, masing-masing menyedari bahawa semangat OAG itu masih kuat.

“Sebab itu kita cadangkan buat reunion kerana Ivan, Lam dan Qi pun dah lama tak main muzik.

“Tetapi saya lihat semangat mereka masih sama dan tetap hebat bermain muzik,” katanya.

Konsert sempena 25 tahun

Sebagai permulaan, kata Radhi, tahun ini mereka akan merangka pelbagai rancangan bagi menyambut ulang tahun ke-25 OAG tahun depan.

Menurutnya, ini termasuklah merakamkan semula lagu lama OAG yang belum pernah disiarkan dan membuat persembahan khas untuk peminat.

“Selepas sekian lama, tentunya peminat mengharapkan sesuatu yang lebih daripada kami. Sekarang kami cuba perhalusi lagu-lagu lama OAG agar lebih matang.

“Kami juga impikan untuk membuat konsert seperti pernah dilakukan kumpulan Wings di mana peminat kami datang bersama anak-anak dan keluarga. Kita harap perkara ini dapat direalisasikan secara besar-besaran tahun depan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada perancangan tersebut turut melibatkan bekas ahli-ahli OAG yang lain, Radhi berkata, ia terserah kepada mereka.

“Saya tak boleh paksa semua batch untuk sertai reunion ini. Tetapi saya akan jemput mereka seperti Alim dan Naza (batch 2002) jika mereka ada kelapangan,” katanya.

Menurut Radhi, projek reunion barisan asal OAG ini juga tidak mendapat tentangan daripada ahli-ahli OAG yang terkini.

“Pada mulanya, mereka ada persoalkan juga. Tetapi saya sudah terangkan, tanpa ahli OAG yang asal ini, mungkin OAG tidak wujud sekarang.

“Mereka akhirnya faham dan saya ingin jelaskan bahawa projek reunion OAG dan aktiviti OAG yang sekarang adalah dua perkara berbeza. Saya sendiri akan bahagikan masa sebaik-baiknya kepada dua kumpulan ini,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");