Panasnya Hari Ini

Kerajaan Digesa Tarik Balik Pengklasifikasian ‘Rahsia’ Terhadap Laporan Ketua Audit Negara

KUALA LUMPUR : Kerajaan digesa untuk menarik balik pengklasifikasian ‘rahsia’ terhadap laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB dan dituntut membentangkan kertas putih berkaitan syarikat pelaburan negara itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau telah mengemukakan satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat (18) (1) dan 18 (2) Peraturan-Peraturan Majlis Dewan Rakyat kepada Yang Dipertua Rakyat tetapi usul tersebut ditolak.

“Saya melahirkan rasa kesal atas penolakan usul khusus saya yang begitu penting dan melibatkan kepentingan orang ramai.

“Usul saya itu menggesa supaya Perdana Menteri menarik balik pengklasifikasian laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB sebagai dokumen rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972,”ujarnya menerusi satu kenyataan.

Kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi, beliau telah membangkitkan empat persoalan yang menyentuh soal kerahsiaan mengenai 1MDB menerusi usul tersebut.

“Mengapakah Laporan PAC yang dibentangkan menggelapkan maklumat mengenai surat dari Bank Negara tentang hak milik syarikat Good Star Limited yang bukan anak syarikat Kumpulan PetroSaudi?

“Mengapakah Pengerusi PAC bertindak memotong ayat yang telah dipersetujui oleh mesyuarat PAC yang menyentuh kaitan dengan Low Taek Jho (Jho Low) yang dikehendaki oleh polis bagi tujuan siasatan kaitan skandal 1MDB?

“Bagaimanakah Parlimen akan mendapat jawapan-jawapan berhubung persoalan 1MDB yang sewajarnya dibahaskan apabila Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia?

“Bagaimanakah siasatan antarabangsa yang melibatkan negara Amerika Syarikat, United Kingdom, Luxembourg, Switzerland, Australia, Singapura dan Hong Kong yang sewajarnya dibantu oleh Pejabat Peguam Negara dapat diberikan kerjasama yang sebaiknya selama dokumen penting khasnya Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB dirahsiakan?”soalnya.

Wan Azizah berkata, tidak mungkin Parlimen dapat membahaskan permasalahan dan isu-isu berkaitan skandal 1MDB tanpa merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara mengenai MDB yang telah diklasifikasikan sebagai rahsia dibawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Oleh demikian, saya menuntut supaya kerajaan menjawab segala persoalan yang berbangkit melalui pembentangan satu kertas putih mengenai 1MDB dalam Parlimen,”tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");