Sukan Hari Ini

Kerja keras pasukan Terengganu berbaloi

PENGENDALI Terengganu, Sarjit Singh menyifatkan kerja keras, kesungguhan serta pemain yang sentiasa mengikut arahan menjadi inti pati kejayaan Terengganu dalam merangkul Piala Hoki TNB Tun Abdul Razak tahun ini selepas menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-0 di Stadium Hoki Nasional, kelmarin.

Malah, status underdog yang dilabel kepada Terengganu selain PDRM yang turut diperkuatkan pemain kebangsaan, Muhammad Razie Abdul Rahim dan Nabil Fiqri Mohammad Noor tidak memberikan tekanan kepada kepada skuad Hanelang itu.

“Sudah tentu saya gembira dengan kemenangan ini tapi yang lebih membanggakan ialah dua gol Terengganu adalah melalui gol padang. “Pada separuh masa pertama, dua-dua pasukan bermain dengan sangat berhati-hati tapi selepas gol pertama Faizal Shaari, baru kita nampak peluang semakin terbuka untuk menang,” katanya.

Dalam perlawanan itu, kedua-dua pasukan bermula perlahan dan mengamalkan corak berhati-hati melalui hantaran pendek selain bola lebih banyak berlegar di kawasan pertahanan.

Bagaimanapun, pemain kebangsaan, Faizal membuka gol pertama perlawanan buat Terengganu pada minit ke-41 melalui pukulan sudut penalti sebelum meledak gol kedua 10 minit kemudian menerusi gol padang.

Muhd Akhimullah Anuar Esook menambah derita PDRM pada minit ke-57 untuk gol ketiga sekali gus menamatkan perjuangan PDRM dalam perlawanan akhir edisi ke-54 kali ini.

Kejuaraan ini menyaksikan Terengganu muncul juara untuk kali kedua selepas kali pertama pada 2012 sekali gus membawa pulang RM10,000, piala dan pingat manakala PDRM selaku naib juara menerima RM7,000 dan pingat.

Dalam pada itu, Faizal turut dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan dan pemain terbaik perlawanan akhir.

“Faizal bermain dengan baik begitu juga pemain lain yang berjaya menyerap tekanan. Kejohanan ini memberi pengalaman berguna kepada rata-rata pemain muda kami dan 13 orang daripada mereka juga bakal menggalas tanggungjawab dalam Sukan Malaysia (Sukma) yang akan berlangsung di Kuching, Sarawak,” kata Sarjit.

Sementara itu, Jurulatih PDRM, Gurmit Singh tetap memuji persembahan pemainnya dan menyifatkan kejayaan muncul naib juara sesuatu yang boleh dibanggakan.

“Saya bangga dengan pemain walaupun baharu naik daripada divisyen dua tetapi sudah mampu melangkah ke perlawanan akhir.

“Mungkin bukan nasib kami untuk menjadi juara, tetapi gelaran naib juara sudah memadai,” katanya.

Sementara itu, dalam perlawanan akhir Divisyen 2, Pulau Pinang menang 3-2 ke atas Perlis melalui aksi penentuan penalti selepas terikat 4-4.

Tiga gol Pulau Pinang diperoleh menerusi Muhammad Azrul Hasbullah, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin dan Muhammad Rashid Baharom manakala Muhammad Najmi Farizal Jazlan dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil menyempurnakannya untuk Perlis.

Dalam kategori wanita pula, pasukan Pahang muncul juara selepas menang 4-0 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui gol yang dihasilkan Nuraini Abdul Rashid (m-22, 47), Noorain Mohd Arshad (m-23) dan Wan Nor Faiezah Md Saiuti (m-40).-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");