Membawang Hari Ini

Konsert caklempong lebih kreatif

Apa saja seni muzik yang dapat menyemarakkan kebanggaan dan memperkenalkan identiti sesuatu bangsa, pasti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan me­ngetengahkannya.

Ini termasuk muzik tradisional caklempong yang dikatakan dibawa ke Tanah Melayu oleh masyarakat Minangkabau dari Sumatera Barat yang menetap di Negeri Sembilan (N9) seawal kurun ke-14.

Masyarakat Minangkabau memanggil caklempong sebagai taklempong. Di dalam tradisi terdahulu, selain berhibur, caklempong turut memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian masyarakat Minang seperti menyatupadukan penduduk setempat.

Menurut Ketua Pengarah JKKN Datuk Norliza Rofli, caklempong dimainkan pada upacara pertabalan Yang Dipertuan Besar apabila persembahan itu dijadikan muzik iringan dan dimainkan untuk pelbagai tujuan antaranya dalam upacara perkahwinan, perasmian, keraian, muzik iringan pencak silat dan tarian.

“Muzik caklempong kini sudah diterima masyarakat majmuk di negara ini sebagai muzik warisan bangsa milik semua rakyat Malaysia. Ia tidak lagi hanya tertumpu di Negeri Sembilan, malah muzik caklempong diajar di institut perguruan seluruh negara bertujuan menyusuri salasilah dan asal usul muzik itu selain menyemai semangat kecintaan kepada muzik tradisional di negara ini,” katanya.

Lantaran itu, Konsert Caklempong Extravaganza 2016 membuka tirainya tahun ini dengan idea lebih kreatif yang baru-baru ini berlangsung selama dua hari di JKKN, Negeri Sembilan.

“Tahun ini, konsert itu menampilkan kelainan dan keunikan dengan persembahan yang menggabungkan 20 pemuzik caklempong daripada kumpulan muzik caklempong sekitar Negeri Sembilan, Kombo JKKN Negeri Sembilan dan Kumpulan Kesenian JKKN Negeri Sembilan dengan garapan muzik yng kreatif serta diiringi nyanyian artis ternama Datuk Ramli Sarip dan Datuk Khatijah Ibrahim (Khaty).

“Antara artis lain turut membuat persembahan, Farawaheeda dan Genji Buskers. Program itu diselaraskan JKKN Negeri Sembilan bersempena Program Merakyatkan Seni yang berperanan sebagai perantaraan di antara khalayak dengan seni budaya itu sendiri dengan cara memanifestasi kesenian tradisional iaitu Caklempong.

“Sejak program itu diadakan pada 2014, segenap lapisan masyarakat Negeri Sembilan memberikan sambutan yang memberangsangkan,” katanya.

Bagi tujuan promosi dan hebahan, program ini dimasukkan dalam kalendar pelancongan yang disediakan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan agar ia dapat dimaklumkan secara terus kepada pelancong luar dan tempatan mengenai pelaksanaan program yang juga salah satu produk pelancongan di Negeri Sembilan.

-harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");