Jenayah

Lalok kendali senjata

Kuala Lumpur: Pendedahan dianggap menggemparkan apabila wujud pengawal keselamatan ‘lalok’ diberi kebenaran mengendalikan senjata api secara haram di ibu kota.

Malah ada antara mereka ini menggunakan permit senjata api palsu untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan bersenjata di pusat tumpuan ramai.

Perkara itu dibongkar hasil tindakan polis menerusi Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Pematuhan ke atas pengawal keselamatan di sekitar Lembah Kelang, yang dilaksanakan selama dua hari bermula Rabu lalu.

Hasil kegiatan itu, seramai 92 pengawal keselamatan berjaya diberkas atas pelbagai kesalahan selain polis turut merampas empat laras senapang patah daripada mereka.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Hamid Mohd Ali berkata, operasi bersepadu itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Ketua Balai Polis.

Katanya, operasi itu ditumpukan kepada pengawal keselamatan bersenjata dan tidak bersenjata bagi memastikan mereka mematuhi peraturan serta garis panduan yang ditetapkan.

“Dalam tempoh dua hari, seramai 815 pemeriksaan dilakukan dan seramai 92 pengawal keselamatan dengan pelbagai kesalahan ditahan.

“Daripada jumlah itu, seramai 86 individu adalah warga asing membabitkan kesalahan (60) tidak memiliki dokumen, (2) visa tamat tempoh, (23) salah guna permit dan (1) menggunakan identiti palsu.

“Manakala selebihnya adalah warga tempatan termasuk seorang warga Indonesia mendapat taraf penduduk tetap. Di mana tiga individu ditahan selepas dikesan positif dadah, seorang dikehendaki dan seorang lagi mempunyai waran tangkap,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini semalam.

Abdul Hamid berkata, kesemua suspek ditangkap membabitkan pekerja pengawal keselamatan di sekolah, pusat beli-belah, bank, kedai emas, pengurup wang, kawasan perumahan dan pembinaan.

Katanya, pihaknya turut merampas empat senapang jenis pump gun daripada pengawal keselamatan yang ditahan itu.

“Tiga daripada senapang dirampas adalah milik suspek positif dadah dan satu lagi membabitkan permit senjata palsu.

“Polis akan sentiasa melakukan pemeriksaan terhadap premis yang mempunyai pengawal keselamatan bagi memastikan mereka mematuhi garis panduan yang ditetapkan,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");