Panasnya Hari Ini

Lima Soalan Untuk Menteri Kewangan

KUALA LUMPUR : Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengemukakan lima soalan kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung laporan Wall Street Journal (WSJ) yang mendedahkan skandal syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tuan Ibrahim berkata, pendedahan terbaru yang dilaporkan oleh WSJ ialah para penyiasat mempercayai sekurang-kurangnya US$50 juta duit 1MDB telah digunakan oleh anak tiri Najib, Riza Aziz untuk pembelian hartanah di New York dan Los Angeles.

“Soalan pertama, bilakah Menteri Kewangan dan keluarganya akan menyaman WSJ? Dalam kemelut IPIC-1MDB, 1MDB telah ingkar membayar faedah sebanyak tiga kali dan IPIC telah membayarnya. Hasilnya, IPIC kini menuntut hutang sebanyak US$1.2 bilion bersama faedah daripada 1MDB dan kerajaan Malaysia sebagai ganti rugi.

“Soalan kedua, sekiranya kemelut IPIC-1MDB ini tidak dapat diselesaikan, apakah kerajaan Malaysia boleh mengetepikan tuntutan IPIC kerana Kementerian Kewangan yang diterajui Menteri Kewangan telah bersetuju menjamin ganti rugi kepada IPIC berdasarkan perjanjian 1MDB dan IPIC pada Mei tahun lalu?

“Semalam, Gabenor Bank Negara yang baru, Datuk Muhammad Ibrahim pula memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia mampu menyelesaikan hutang yang ditanggung oleh 1MDB,”ujarnya, dalam satu kenyataan.

Selain itu, dalam soalan ketiga, Tuan Ibrahim turut bertanya tentang dari manakah sumber dana akan datang untuk membayar hutang yang dicipta 1MDB.

“Soalan keempat, apakah Datuk Seri Najib sedia mengambil tanggungjawab penuh dan mengakui lalai dalam menjalankan tugas dalam kegagalan 1MDB yang memalukan rakyat dan negara dengan meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan?

“Soalan kelima, apakah selepas ini saudara Arul Kanda pula akan menjadi mangsa yang dipersalahkan kerana gagal menyelesaikan kemelut IPIC-1MDB?”soalnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");