Jenayah

Maut rembat rim

Seberang Jaya: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut ketika bergelut dengan orang ramai untuk melarikan diri selepas dicekup mencuri ‘sport rim’ kereta di sebuah bengkel di Kampung Sutera, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa dipercayai penagih dadah memecah masuk bengkel penduduk di situ sebelum perbuatan itu disedari pemiliknya.

Difahamkan, lelaki yang juga pemilik serta beberapa rakannya mencekup remaja itu yang mengangkat rim ke atas motosikal dan ketika bergelut untuk melarikan diri daripada kepungan penduduk kampung, remaja berkenaan tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

Isteri pengusaha bengkel yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul berusia 40-an berkata, ketika kejadian dia menyediakan juadah bersahur untuk anak perempuannya dan terkejut mendengar bunyi bising di luar rumah.

Nurul berkata, suaminya yang baru pulang dari Perlis atas urusan kerja keluar melihat apa yang berlaku sebelum dimaklumkan jiran mengenai cubaan remaja itu mencuri peralatan di bengkel milik mereka.

“Suami bersama penduduk mengepung suspek, namun dalam usaha suspek meloloskan diri dia tiba-tiba rebah dan mulutnya berbuih sebelum tidak sedarkan diri.

“Melihat keadaan itu, suami menghubungi polis untuk melaporkan kejadian,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Nurul berkata, kejadian curi memang kerap berlaku di kawasan rumahnya dan mengakui pernah kehilangan beberapa peralatan di bengkel mereka yang terletak bersebelahan, namun tidak membuat laporan polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Superintendan Mohd Sabri Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, mayat remaja itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian.

Menurutnya, buat masa ini pihaknya sudah mengambil keterangan saksi untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");