Jenayah

Meracau lepas amuk

Jasin: “Cemas saya dibuatnya, marah dan takut hingga menggigil pun ada,” kata pemilik kedai makan Mohd Nazam Uni, 49, apabila lelaki misteri berusia 40-an merempuh masuk ke dalam kedai makannya di Kampung Umbai, Merlimau, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam, lelaki misteri terbabit yang hanya berseluar jean tanpa baju, tiba-tiba merempuh ke dalam kedai makan Mohd Nazam lalu melanggar pelanggannya.

“Pada tangan kanannya ada batang besi paip manakala tangan kirinya memegang sarung parang, membuatkan saya cemas kerana tidak pernah menempuh situasi seperti ini.

“Selepas dia merempuh masuk, kerusi meja tunggang langgang sehingga ada minuman tumpah terkena pelanggan. Pada masa sama lelaki itu menghayunkan batang besi paip dipegang, namun mujur seorang pelanggan sempat menahan dan memegangnya,” katanya.

Mohd Nazam berkata, dia lebih panik apabila lelaki itu berkemungkinan membawa senjata tajam berikutan memegang sarung parang pada tangannya.

Dia memberitahu, lelaki itu kemudian keluar dari kedai dengan melompat melalui tingkap menuju ke belakang premis, namun apa yang menghairankan dia tiba-tiba terbaring dan menggelupur seolah-olah dirasuk.

“Perasaan kami yang marah dengan tindakannya bertukar risau. Beberapa pelanggan memegang tangan dan mengusungnya ke dalam kedai, saya minta orang ramai tidak mengerumuninya, pada masa sama saya menghubungi ambulans dan polis.

“Bahasa ditutur lelaki itu langsung tidak difahami, seperti meracau, tapi saya pasti dia bukan orang kampung ini kerana tidak pernah mengecam wajahnya,” katanya.

Mohd Nazam berkata, apabila ambulans dan polis tiba, lelaki itu masih menggelupur serta meracau menyebabkan pasukan perubatan memberikan suntikan penenang.

Menurutnya, selepas beberapa minit dia mula tenang sebelum dibawa ke Balai Polis Merlimau, untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, beberapa penduduk mendakwa, terdahulu lelaki misteri itu cuba memecah masuk rumah penduduk kira-kira 500 meter dari kedai makan Mohd Nazam.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya maklum mengenai kejadian itu, namun belum menerima sebarang laporan.

“Kami menahan lelaki itu dan selepas ujian air kencing dilakukan, dia didapati positif methamphetamine. Dia kini ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Manakala hasil semakan dijalankan kami mendapati suspek ada rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");