Membawang Hari Ini

My Stupid Boss ditayang serentak empat negara

TIDAK sekadar memaparkan kehidupan harian masyarakat yang menghabiskan masa di pejabat kerana tuntutan kerja, filem My Stupid Boss terbitan produksi Indonesia, Falcon Pictures (FC) menitikberatkan usaha dalam menyatukan dan mengeratkan hubungan antara dua negara serumpun.

Karya yang diangkat daripada empat siri novel paling laris di republik itu menggunakan judul yang sama berkisar mengenai kehidupan realiti yang dilalui mana-mana pekerja ketika berhadapan dengan majikannya setiap hari.

Filem yang mengambil latar sebenar seperti novel tulisan Chaos@work yang berlaku di Kuala Lumpur itu menjadi percubaan pertama kerjasama produksi FC yang pernah menerbitkan filem pecah panggung di negara seberang iaitu Laskar Pelangi, Comic 8 dan Comic 8: Casino Kings memperluaskan pasaran filem ke negara ini.

Penerbitnya Frederica, berkata Malaysia menjadi negara pilihan untuk memperluaskan jaringan filem kerana ia akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

“Sebagai penggiat filem, menjadi impian setiap syarikat produksi untuk membawa produk mereka merentasi sempadan. Saya melihat industri perfileman Malaysia cukup berkembang pesat, terutama ketika seluruh dunia menghadapi masalah sama iaitu kemerosotan jumlah penonton ke pawagam.

“Apatah lagi, Malaysia dan Indonesia adalah negara serumpun yang hidup berjiran dan mempunyai cita rasa serta budaya yang sama,” katanya ketika ditemui di ibu negara, baru-baru ini.

Kongsi pengalaman

Frederica yang dinobatkan sebagai Produser Terbaik pada Anugerah Filem Box Office Indonesia (IBOMA) 2016 di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini turut memberi peluang kepada pelakon negara ini berkongsi pengalaman dalam penerbitan filem ke-19 syarikatnya itu.

“Filem yang menjalani penggambaran selama 25 hari, termasuk dua minggu di negara ini mengambil latar 100 peratus lokasi luar di Kuala Lumpur. Sementara itu, penggambaran dalaman pula dilakukan di studio di Jakarta.

“Menariknya, gabungan pelakon Indonesia dan Malaysia dipilih berdasarkan populariti mereka di negara masing-masing. Bunga Citra Lestari atau BCL dan Reza Rahadian mewakili Indonesia manakala Atikah Suhaimie, Bront Palarae serta Chew Kinwah pula membina reputasi yang meyakinkan di Malaysia.

“Kami juga melantik syarikat perfileman berpengaruh iaitu Skop Production Sdn Bhd sebagai pengedar filem ini di seluruh pawagam di Malaysia,” katanya yang berpuas hati dengan kerjasama diberikan semua pihak sepanjang menjalani penggambaran di negara ini.

Filem yang menjalani penggambaran bermula Oktober tahun lalu juga akan ditayangkan serentak di empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei bermula 19 Mei depan.

Sinopsis

Mengisahkan Diana lakonan Bunga Citra Lestari yang harus mengikuti suaminya, (Alex Abbad) berpindah dan bekerja di negera jiran iaitu Malaysia.

Di sana, Diana terpaksa mencari pekerjaan untuk menampung kehidupan mereka dan bekerja di sebuah pejabat yang memiliki pekerja dari pelbagai negara.

Konflik berlaku apabila Diana terpaksa berhadapan dengan majikannya, Bossman yang juga berasal dari Indonesia (Reza Rahadian). Bossman memiliki tingkah laku yang pelik tetapi karakternya melucukan. Bossman memiliki prinsip yang luar biasa, berbeza dengan majikan lain. Di pejabatnya, tiada peraturan dan sistem yang jelas dalam pengurusan syarikat membuatkan urusan harian menjadi huru-hara.

Bossman mempertahankan prinsip tersendiri iaitu ‘Bossman Always Right’. Setiap keinginannya harus dituruti semua pekerjanya. Di situ, Diana mula mengenali rakan setugasnya iaitu Norahsikin lakonan Atikah Suhaimie, Adrian (Bront Palarae), Azhari (Iskandar Zulkarnain) dan Mr.Kho (Kinwah Chew) yang banyak memberi nasihat untuk berhadapan dengan Bossman. Info Terbitan: Falcon Pictures. (Indonesia) Edaran: Skop Productions Sdn Bhd (Malaysia) Penerbit: Frederica Pengarah: Upi Avianto Genre: Komedi/ Drama Durasi: 90 minit Pelakon Malaysia: Atikah Suhaimie, Bront Palarae dan Chew Kinwah Pelakon Indonesia: Reza Rahadian, Bunga Citra Lestari, Alex Abbad dan Ronny P Tjandra Lokasi Penggambaran: Kuala Lumpur.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/149882

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");