Sukan Hari Ini

Nour padam rekod Nicol

Kuala Lumpur: Pemain muda Mesir Nour El Sherbini semakin menunjukkan kebangkitan apabila muncul juara Kejohanan Skuasy Wanita Dunia yang berlangsung di Bukit Jalil selepas menundukkan pemain England Laura Massaro dalam pertarungan lima set 6-11, 4-11,11- 3, 11-5-, 11-8, semalam.

Lebih manis, kejayaan itu membolehkannya bergelar pemain nombor satu dunia dan merampas kedudukan yang dipegang Laura sebelum ini.

“Saya tidak boleh mengungkapkan apa yang bermain di fikiran. Semua terjadi begitu pantas dan langsung tidak terfikir oleh saya.

“Menjadi pemain nombor satu dunia, menjadi pemain Mesir pertama bergelar juara dunia dan bergelar juara dunia termuda. Sukar untuk dipercayai,” katanya.

Kejayaan itu sekali gus memadamkan rekod yang dipegang pemain negara Datuk Nicol Ann David selama 11 tahun apabila dia muncul pemain termuda bergelar juara dunia dan pemain nombor satu dunia.

Nour tewas dua set awal namun bangkit mengungguli permainan pada baki tiga set seterusnya.

“Tewas dua set awal menyebabkan saya tertekan. Namun kata-kata semangat daripada jurulatih membuatkan saya kembali bersemangat.

“Jadi kemenangan ini cukup menggembirakan. Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan terutama kedua-dua ibu bapa saya yang turut sama di sini memberikan sokongan,” katanya.

Kemenangan itu membolehkan Nour membawa pulang sebuah kereta Citroen DS4 dan wang tunai bernilai RM107,445 berserta trofi yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");