Membawang Hari Ini

Oh My Jep pikat hati masyarakat

PASTI ramai yang mengetahui mengenai ‘fan page’, Oh My Jep di laman sosial Facebook dan Instagram.

Bahkan, kedua-dua laman sosial ini sangat popular dan berupaya menarik perhatian sehingga mencecah 300,000 (Facebook) dan 80,000 (Instagram) pengikut!

Jika disemak, fan page berkenaan penuh dengan kisah, gaya dan aksi manja daripada seekor kucing ‘selamba’ yang bernama Jep.

Menariknya, ia bukanlah sekadar perkongsian gambar semata-mata sebaliknya turut disertai dengan bait-bait kata yang melibatkan isu semasa.

Namun, itulah sebenarnya keistimewaan Oh My Jep!

Tuannya, Nor Azwana Awang atau mesra dipanggil Ummi mengakui idea untuk membina sesebuah dialog bergambar tercipta melalui mimik muka kucing kesayangannya itu.

“Uniknya mengenai Jep adalah kerana mimik mukanya yang cukup selamba.

“Bahkan, untuk sesuatu mimik muka yang dilakukannya, ia mampu bertahan lebih lama berbanding kucing lain.

“Itu yang membuatkan kita tertarik hendak membuat dialog bergambar,” katanya kepada Zass.

Menurutnya, setiap dialog bergambar yang dihasilkan adalah bersifat semula jadi.

“Kita mempunyai sebuah kamera yang akan merakamkan setiap mimik muka Jep.

“Selalunya, setiap gambar yang dirakam bergantung pada nasib. Tapi, apa yang penting, ia mengandungi pelbagai ekspresi muka.

“Gambar-gambar itu kemudiannya akan dipilih dan dicantumkan. Daripada situ, kita akan memikirkan ayat terbaik untuk membina sesuatu ayat.

“Biasanya, kita akan mengaitkan dengan situasi semasa yang berlaku agar kekal relevan,” katanya.

Tidak berniat untuk mendapat perhatian daripada masyarakat, jelas Ummi, situasi itu berlaku tanpa dirancang.

“Awalnya, kita melakukannya hanya untuk berseronok-seronok. Tak sangka, ramai yang menggemarinya.

“Tetapi, jika ia memberi kesan positif, apa salah kalau kita berkongsi dengan orang ramai? Itu yang jadi penghibur pula,” katanya sambil ketawa.

Malah, Ummi juga berbesar hati menerima pelawaan daripada Grup Buku Karangkraf untuk menerbitkan buku mengenai Oh My Jep, pada akhir tahun ini.

“Insya-ALLAH, semua dialog bergambar yang dihasilkan akan dihimpunkan ke dalam sebuah buku dengan penataan yang lebih menarik.

“Kita juga mungkin akan menyelitkan sekali komen-komen membina, lucu dan menarik daripada peminat Jep,” katanya.

Simbol Kasih Sayang

Menjadi pemilik kepada kucing selebriti, Ummi mengakui ia merupakan satu tanggungjawab besar yang harus dipikul.

Tambahan pula, kucing jantan daripada baka ‘American Shorthair’ itu menjadi kesayangan ramai daripada seluruh pelosok masyarakat.

“Sudah pasti, semuanya mengharapkan kita agar menjaganya dengan terbaik.

“Ada juga kejadian cemas yang berlaku sepanjang tiga tahun memelihara Jep, namun itu semua pengalaman buat kita agar memperbaikinya pada masa depan,” katanya.

Walaupun tumpuan pada Jep, kata Ummi, setiap kucing peliharaannya mendapat layanan secara sama rata.

Selain Jep, Ummi turut memelihara tujuh kucing lain iaitu Orbita, Kaktop, Mia, Gimmi, Amoi, Zyra dan Jimbo daripada pelbagai jenis baka.

“Kita sudah memelihara kucing sejak berusia 5 tahun lagi.

“Jujurnya, kita pencinta kucing dan adalah menjadi harapan supaya semua kucing yang dipelihara sentiasa kekal sihat.

“Bahkan, kita juga mahu menjadikan kucing sebagai simbol kasih sayang di antara manusia dan haiwan,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");