Membawang Hari Ini

Orang kasar: Papar pergelutan hidup seorang wanita

TEATER yang mengambil judul Orang Kasar ini mendapat sentuhan pengarah dan pelakon yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Teater Dengan Kepujian Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menggelar diri mereka Produksi Teater Rodong.

Berkongsi mengenai pementasan ini, wajar dikatakan ia mampu menandingi pementasan profesional.

Ini kerana, selain lakonan bertenaga dan mantap yang ditonjolkan, ia berjaya menampilkan sisi pengarahan dan sinografi yang seimbang.

Malah, pembangunan watak dilakukan dengan terperinci sehingga audiens yang hadir terpukau dengan pementasan tersebut.

Disokong sistem audio, penataan cahaya, rekaan set, prop dan kostum, pementasan yang berlatarbelakangkan era 1880-an di Moscow, Rusia ini cukup terserlah.

Kesan visual yang tepat membuatkan mereka seperti benarbenar berada di era itu.

Pengarahnya, Ayu Afnizar Samsir Alam Syah wajar dipuji kerana berjaya membentuk dan membawa karya realisme garapan Anton Chekhov yang diterjemahkan semula Ahmad Yatim ini dalam genre romantik komedi.

“Sebagai satu-satunya pengarah wanita yang muncul dalam projek penilaian akhir teater kohort pertama ini, ia menjadi satu cabaran besar buat saya.

“Kerja-kerja pengarahan dalam menjayakan sesebuah produksi membuatkan saya dan rakan-rakan yang dinilai berusaha menjadi penuntut yang lebih komited terhadap tanggungjawab serta tugasan diberikan.

“Ia merupakan pengalaman hebat bagi saya lebih-lebih lagi apabila perlu membuat penyelidikan sosial Rusia era 1880-an demi merealisasikan teater ini. Ia perkara yang agak mencabar khususnya dalam mencari bahanbahan rujukan,” kata Ayu Afnizar.

Sedikit mengenai naskhah ini, plot bermula apabila Puan Popov, seorang janda kaya mengurungkan diri di dalam rumah sejak hampir setahun setelah kematian suaminya.

Puan Popov menolak kehadiran tetamu ke rumahnya demi menunjukkan kesetiaannya terhadap mendiang suaminya setelah menjumpai bukti-bukti yang menunjukkan mendiang suaminya curang.

Suatu hari, kehadiran Smirnov menuntut hutang mendiang suaminya menyebabkan Puan Popov terpaksa mengubah pendiriannya.

Puan Popov menerima cinta Smirnov setelah mengenangkan mendiang suaminya juga telah curang kepadanya.

Pelakon kuasai watak

Bercerita mengenai penguasaan watak setiap pelakon terlibat, boleh dikatakan mereka berjaya mendalaminya dengan baik.

Menurut Nizam Nazari yang menjadi Smirnov, terlibat menerusi pementasan itu merupakan pengalaman terbaik bagi dirinya.

“Saya terpaksa melakukan kajian dengan sangat terperinci dan mengambil masa agak panjang sebelum memahami serta menterjemahkannya di atas pentas.

“Perincian bukan sahaja dengan mengkaji cerita, malah kami diwajibkan memahami matlamat cerita, adegan dan watak dalam membentuk perwatakan masing-masing.

“Kerana itu, saya juga perlu melalui latihan fizikal yang intensif untuk membentuk stamina yang terbaik sepanjang pementasan,” katanya.

Tambahnya, penghayatan watak dilakukan dengan membayangkan watak daripada segi bahasa badan, gaya bercakap dan pembentukan emosi.

“Memang agak penat namun hasilnya berbaloi,” katanya mengaplikasikan beberapa gabungan teknik seperti Stanislavsksi dan Michael Chekhov dalam teknik lakonannya.

Bagi Syahira Azhar yang memainkan peranan sebagai Puan Popov, terlibat menerusi produksi ini memberi pembelajaran berharga kepadanya.

“Orang Kasar adalah lakonan teater Barat pertama yang saya lalui. Budaya saya sebagai orang Melayu jauh daripada kehidupan mereka.

“Jadi, saya harus melakukan banyak penyelidikan budaya, lakonan, dan tabiat orang Rusia bersama-sama rakan yang lain.

“Setiap tingkah laku dan gaya harus dibina secara berperingkat demi menjelaskan matlamat watak dan menjaga kesinambungan cerita. Walaupun pementasan hanya satu jam, namun kepuasan berlatih dan memahami peranan lakonan watak yang di luar kebiasaan sangat menyeronokkan,” katanya.

Pementasan cemerlang

Dalam pada itu, penyelia teater berkenaan, Lena Farida Hussain Chin memberitahu, teater Orang Kasar menjadi syarat penilaian penuntut terbabit.

“Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan pencapaian mereka. Segala nasihat dan tip diberi dicerna dengan baik. Apabila rata-rata penonton menyatakan ini merupakan pementasan yang cemerlang, saya yakin graduan pertama Seni Persembahan Teater UPSI mampu lahir dalam industri di Malaysia sebagai bakat baharu yang berdaya saing, berdikari, serta tahu menggalas tanggungjawab dalam produksi dengan baik.

“Ia sekali gus memenuhi industri kreatif negara sebagai bakat yang berilmu dan setanding dengan graduan seni persembahan yang lain,” katanya.

Antara pelajar dinilai menerusi produksi ini adalah Ayu Afnizar Samsir Alam Syah (pengarah), Muhammad Hafidz Haikal Hadz Abdullah (penolong pengarah), Nizam Mohd Nazari (pelakon utama), Syahira Azhar (pelakon utama), Muhammad Haikal Musa (pelakon pembantu), Muhammad Fitri Zakaria dan Muhammad Aqil Ridhwan (pelakon sampingan) serta Wan Muhammad Amirullah Wan Saleh (sinografer).

Sementara itu, tokoh teater tanah air, Shamsudin Osman (Dinsman) mengakui pementasan tersebut berjaya menambat hatinya.

“Mereka wajar dipuji kerana kesungguhan yang ditunjukkan. Saya benar-benar seronok menonton pementasan ini terutamanya lakonan Nizam Nazari sebagai (Smirnov), pengutip hutang itu.

“Pelakon lain juga bagus, tetapi Nizam mempunyai gaya fizikal tersendiri apabila menggeletarkan tubuhnya ketika menahan rasa marah, geram, kecewa dengan bunyi suaranya yang unik itu.

“Secara tidak langsung ia memberikan saya pengalaman menonton teater yang berbeza daripada mana-mana karya sebelum ini,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");