Isu Panas

Pecat keahlian jika cuba singkir Najib

MACHANG – Umno Cawangan Pangkal Chuit sebulat suara mendesak Majlis Tertinggi mengambil tindakan tegas termasuk memecat keahlian pemimpin dan bekas anggota Umno yang bersekongkol dengan pihak yang cuba menjatuhkan Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketuanya, Wan Mohd Adnan Wan Aziz berkata, usul tersebut disokong sebulat suara tanpa bahas sekali gus mengharapkan tindakan segera diambil kepada mereka yang terlibat.

Katanya, pihaknya kesal dengan tindakan bekas pemimpin dan ahli Umno yang turut bersama-sama pembangkang dalam gerakan yang cuba menjatuhkan Presiden Umno dan perdana menteri itu.

“Kami sangat kecewa dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kumpulan yang cuba menjatuhkan Datuk Seri Najib dan cubaan menggulingkan kerajaan dipilih rakyat melalui proses pilihan raya.

“Tindakan bekas pemimpin yang bersekongkol dengan pembangkang termasuk DAP dalam deklarasi rakyat tidak boleh diterima dan kami mendesak tindakan tegas diambil terhadap mereka dengan melucutkan keahlian individu terlibat.

“Usaha Umno menangani krisis persepsi dalam kalangan rakyat tidak akan berjaya jika mereka terus dikelirukan dengan fitnah-fitnah yang bertujuan menjatuhkan Datuk Seri Najib, ” katanya selepas Mesyuarat Cawangan Pangkal Chuit, di sini, malam kelmarin.

Mesyuarat tersebut mendapat sambutan memberangsangkan apabila 130 ahlinya hadir.

Wan Mohd Adnan yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Machang berkata, dalam masa yang sama, pihaknya turut melahirkan kekecewaan apabila dua cawangan di bahagian ini secara terang-terangan menolak Najib pada mesyuarat cawangan yang diadakan baru-baru ini.

Katanya, dua ketua cawangan tersebut perlu dikenakan tindakan tegas apabila secara terbuka menolak kepimpinan Najib dan menghebahkan usul tersebut secara meluas di media sosial serta media massa sekali gus melanggar etika parti.

Tambahnya, tidak ada sebab untuk menafikan kewibawaan Najib sebagai Perdana Menteri dan sebarang gerakan yang membelakangkan amanah dan mandat diberikan rakyat kepada kerajaan hari ini dikhuatiri boleh menggugat kestabilan negara serta situasi politik tanah air.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");