Jenayah

Pelajar trauma nyaris dirogol

BUKIT MERTAJAM – Seorang pelajar tingkatan empat trauma apabila nyaris dirogol oleh seorang lelaki tidak dikenali dalam satu kejadian di Taman Mutiara, di sini Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Lissa berkata, dia sedang menuruni tangga dari rumahnya yang terletak di tingkat tiga sebuah bangunan kedai untuk menunggu bas sekolah.

Bagaimanapun menurutnya, ketika berada di tingkat satu bangunan itu, dia tiba-tiba ditarik seorang lelaki sebelum mulutnya ditekup oleh lelaki berkenaan.

“Ketika kejadian laluan tangga berkenaan gelap dan saya tidak perasan ada lelaki yang berdiri di tingkat satu pada waktu itu.

“Saya meronta apabila dipegang lelaki berkenaan, bagaimanapun dia memberi amaran dan menyuruh saya senyap sebelum dia menumbuk pipi saya,” katanya ketika ditemui, semalam.

Lissa berkata, dia terus meronta dan cuba melarikan diri namun lelaki berkenaan terus memegangnya selain cuba menangkap sebelah kakinya menyebabkan dia tersembam.

“Pada hari kejadian, saya memakai pakaian seragam unit beruniform dan berseluar panjang. Lelaki itu cuba menarik seluar saya tapi tak berjaya.

“Saya terus jerit minta tolong. Mujur didengari mak ayah yang masih berada di dalam rumah. Saya lega pintu rumah dibuka dan lelaki itu terus melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Tan berkata, dia melihat anaknya itu terbaring dan menangis dalam keadaan tidak bermaya.

Menurutnya, bunyi salakan anjing yang tidak berhenti juga seakan-akan memberi petanda buruk sebelum dia terdengar jeritan anaknya.

“Ketika itu saya dan suami sedang bersiap-siap ke tempat kerja namun selepas mendengar jeritan anak kami kemudiannya keluar rumah.

“Saya dan suami terkejut apabila melihat keadaan Lissa yang terbaring di tangga sambil menekup pipinya yang lebam,” katanya.

Tan berkata, selepas Lissa menceritakan kejadian itu kepada mereka, dia terus membawa anaknya ke Balai Polis Bukit Mertajam untuk membuat laporan.

Katanya, anaknya itu kini mengalami trauma dan sering kelihatan ketakutan akibat kejadian itu.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");