Isu Panas

Pembangkang perlu ketepikan kepentingan individu

SABAK BERNAM – Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pakatan pembangkang perlu mengetepikan kepentingan individu dan kepartian sekiranya mahu mengelak pertembungan sesama sendiri pada pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar nanti.

Beliau berkata pengalaman dan kekalahan pakatan pembangkang pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11 baru-baru ini merupakan satu pengajaran.

“Saya ajak semua pihak (dalam pakatan pembangkang) untuk meletakkan gagasan bersama ini dan ketepikan kepentingan individu dan kepartian.

“Saya yakin dengan kewibawaan pimpinan parti-parti politik pembangkang ia boleh membawa kepada penyelesaian berhubung perkara ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada akan wujud pertembungan sesama pakatan pembangkang dalam pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar kelak.

Beliau berkata buat masa ini, PKR dan rakan sekutunya belum memutuskan calon yang layak untuk bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil itu.

Kekosongan kerusi Parlimen Sungai Besar berikutan penyandangnya Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, terkorban dalam tragedi helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");